bhnews@bh.com.my
Dungun : Seramai 141 mangsa banjir membabitkan 46 keluarga di Kampung Nerang, dekat Jerangau, di sini, dipindahkan ke Dewan Sivik Kampung Jerangau, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, empat anggota Balai Polis Jerangau bersama penduduk kampung berusaha memindahkan mangsa terbabit.
Katanya, dua bot digunakan bagi mengangkut semua mangsa terbabit sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di situ.
“Kita berterima kasih dan menghargai sikap penduduk yang saling bantu membantu sehingga urusan pemindahan mangsa banjir berjalan lancar.
“Kita berharap mana-mana penduduk supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya kawasan mereka dinaiki air untuk mengelak ada yang terperangkap,” katanya.
Sementara itu, sembilan kampung di Hulu Dungun terputus hubungan selepas jalan utama ke kampung itu dinaiki air sejak petang semalam.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ia membabitkan Kampung Minda, Talong, Kuala Jengai, Dendang, Padang Ping; Jerangau, Lintang, Rantau Panjang dan Tepus.
Dalam pada itu, bekalan elektrik ke empat kampung di Minda, Taling, Kuala Jengai dan Tepus diputuskan berikutan pencawang elektrik ditenggelami air.
“Setakat ini bekalan makanan di semua PPS di Hulu Dungun mencukupi dan ada kampung terpaksa dihantar bekalan mentah menggunakan bot.
“Ketika ini, penggunaan radio amatur dimanfaatkan sebagai perantara untuk penduduk berhubung dengan pihak luar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




