fahmy.azril@bh.com.my
Putrajaya: Pihak yang masih menggunakan politik identiti untuk menghasut rakyat akhirnya mengundang perpecahan dan kerugian kepada Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, politik berasaskan identiti tidak akan memenangkan sesiapa, lantas menasihati rakyat agar melakukan transisi serta bijak dalam menilai bersandarkan politik prestasi.
Dengan menolak politik identiti, beliau mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara satu bangsa sejajar dengan kematangan negara yang sedang menginjak usia hampir 70 tahun.
“Tapi mesej saya tak ada langsung maksudnya untuk undi awal esok. Itu mesej yang umum. Saya kata 69 tahun kita merdeka. Tiba-tiba kita masih lagi nak bertarung tajuk lama. Politik macam itu (politik identiti) pada saya politik yang destruktif.
“Politik identiti ini it’s a zero sum game (permainan yang merugikan), tak ada pemenang. Tak mungkin saya dan PKR boleh mengakui bahawa saya lebih Melayu daripada UMNO atau BERSATU. Ataupun saya nak kata saya tak boleh out-Islamic (lebih Islam daripada) PAS kerana dia punya niche (tumpuan) adalah parti Islam. Jadi siapa menang?
“Tapi kalau kita bawa kepada tajuk politik prestasi, rakyat akan dapat keadilan. Dalam doa yang saya baca tadi… Nabi berdoa supaya kita ini berlindung daripada kekufuran, kefakiran dan kemiskinan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Ketika menyentuh mengenai politik identiti, Saifuddin Nasution yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) tidak memperincikan siapa dan pihak mana.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan sekiranya politik identiti terus dimainkan sebagai ‘wadah politik’ untuk menghasut rakyat sehingga mengaburi usaha baik dilakukan pihak lawan.
Tanpa menyebut mana-mana negeri, beliau berkata, terdapat negeri masih dikategorikan sebagai miskin, diburukkan lagi dengan merekodkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi negara kerana pemimpinnya terlalu ‘obses’ dengan identiti politik.
“Negeri mana paling miskin jika anda teliti statistik? Yang kedua, negeri miskin ini dikaitkan dengan apa? Insiden dadah yang paling tinggi di Malaysia per 100,000 populasi. Jadi bila paling miskin, dadah paling teruk, tiba-tiba kita hanya bercakap tentang politik identiti… Melayu, Cina, India sebab apa?
“Sebab tak ada masa untuk rakyat semak politik prestasi. Ya kenapa kemiskinan masih lagi serius. Kemiskinan diikuti pula dengan kelemahan-kelemahan lain. Kalau nak bercakap mengenai Islam dan Melayu terancam apabila kemiskinan bermaharajalela. Jadi ini yang saya maksudnya. Ini bukan sebahagian daripada kempen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar rakyat menilai kerajaan melalui politik prestasi dengan melihat kembali usaha dan rekod prestasi sepanjang pentadbiran.
“Kalau kita pemerintah, kita nak rakyat nilai ikut prestasi politik berbanding politik identiti. Ia tidak ada pemenang. Tapi nilai pemerintah tunjuk prestasi dalam keadaan ekonomi kecil, terbuka berdagang dengan negara kuasa besar dunia, tak bermakna kita lemah.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cakap kalau kamu rakyat Israel tak dibenar masuk, kena protes pun Perdana Menteri ulangi sekali lagi penegasan, (ahli) Kongres mereka marah dan duta kita kena panggil… Ini adalah risiko (kita) bersuara.
“Amerika Syarikat (AS) kembali menyerang Iran, (Presiden AS) Donald Trump hadapi tekanan domestik sehingga beri kesan kepada bekalan minyak mentah, tapi pemerintah kita masih dapat kekalkan bahan api kita mencukupi, di sebalik terdedah dengan ancaman minyak mentah (global).
“Kita sedaya upaya pastikan rakyat tak alami tekanan. Malah rakyat dapat teruskan kehidupan macam biasa. Harga di pam masih rendah. Ini untuk letakkan kebajikan dan kestabilan ekonomi untuk rakyat. Biar kita lakukan keadilan kepada rakyat. Nilai kerajaan ikut prestasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




