bhnews@bh.com.my
BATU PAHAT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memperuntukkan sebanyak RM4.11 bilion untuk menaik taraf kualiti serta jaringan digital di seluruh Johor.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia membabitkan usaha di bawah Program Jaringan Digital Negara (JENDELA) dan setakat ini di Johor perbelanjaan sebanyak RM589 juta sedang dilaksanakan dalam fasa satu, manakala fasa dua JENDELA akan disambung lagi pada awal tahun hadapan.
“Usaha-usaha menaik taraf dan membina sebanyak 222 pemancar baharu di Johor dan daripada jumlah itu, sebanyak 109 sudah siap dibina dan 113 masih dalam proses pembinaan.
“Pada masa ini sasaran untuk mencapai 413,000 rumah atau premis yang dapat perkhidmatan gentian optik sebanyak 246,901 telah pun siap, manakala bakinya 166,593 lagi yang sedang dalam pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Kembara Riuh Keluarga Malaysia di Ayer Hitam, di sini, malam ini.
Annuar berkata, ‘Point of Present’ (POP), Johor menerima jumlah POP antara yang paling tinggi menjadikan sebanyak 623 POP dengan perbelanjaan kira-kira RM934 juta.
“Angka-angka berkenaan membabitkan jumlah RM4.11 bilion bagi menaik taraf telekomunikasi di Johor bagi mempersiapkan negeri ini bergerak ke hadapan sebagai negeri yang berada di saf hadapan bukan sahaja dalam industri kreatif juga ekonomi digital.
“Johor merupakan negeri berpotensi besar dalam bidang industri kreatif dan aspek penyertaan usahawan-usahawan mikro, industri kecil dan sederhana bagi melibatkan diri dalam pelbagai program ekonomi digital yang menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.
Katanya, perkara itu membolehkan Johor bergerak ke hadapan dengan manfaatkan sepenuhnya ekonomi digital, sekali gus memerlukan prasarana telekomunikasi di Johor dipertingkatkan dengan satu belanjaan besar.
Sementara itu, Ayer Hitam, Johor menjadi lokasi pertama jelajah Program RIUH EK! Keluarga Malaysia pada tahun 2022.
Program yang diadakan selama tiga hari sehingga esok bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.
Program anjuran KKMM itu turut komited menggiatkan semula landskap industri kreatif tempatan yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.
© New Straits Times Press (M) Bhd




