bhnews@bh.com.my
YAN: Hujan lebat berterusan sejak lewat petang tadi menyebabkan dua kampung di daerah ini dinaiki air akibat banjir kilat.
Bagaimanapun, hanya dua rumah di Kampung Titi Bakong ditenggelami air manakala di Kampung Tohor, tidak ada rumah terjejas kerana air naik di kawasan rendah.
Difahamkan, kawasan kampung ini terletak berdekatan Titi Hayun yang pernah mengundang tragedi berlaku kejadian kepala air Ogos tahun lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail, berkata anggotanya melakukan pemantauan banjir kilat bermula jam 8 malam hingga 9.22 malam ini.
Setakat ini, katanya, paras air mulai surut selepas kerja-kerja pembersihan sungai dilakukan.
“Sampah dan kayu-kayu didapati tersangkut pada titi di Sungai Bakong menyebabkan air naik, sekali gus mengundang berlaku banjir kilat.
“Setakat ini paras air sungai pada tahap terkawal dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Yan masih dalam keadaan bersedia.
“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji ketika dihubungi berkata, setakat ini tiada kejadian banjir besar atau kepala air berlaku di daerah ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



