Covid-19 turut beri impak negatif kepada alam sekitar 

Covid-19 turut beri impak negatif kepada alam sekitar 

PUTRAJAYA: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia bukan sahaja mengancam nyawa masyarakat global, tetapi, turut menyumbang kepada bebanan alam sekitar susulan pencemaran bahan plastik. 

Ketua Misi dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe berkata, usaha melindungi penduduk dunia daripada jangkitan dan kematian akibat Covid-19 adalah bersifat monumental dan global. 

Menurut beliau, peralatan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka dan sarung tangan, ujian pengesanan Covid-19 dan vaksin merupakan komponen kritikal bagi usaha berkenaan. 

“Malangnya, peralatan yang menyelamatkan nyawa ini juga penyumbang besar bahan buangan penjagaan kesihatan yang memberikan kesan buruk terhadap alam sekitar.

“Pada permulaan pandemik, dianggarkan sejumlah 129 bilion pelitup muka dan 65 bilion sarung tangan digunakan setiap bulan, di seluruh dunia,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada webinar Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dengan tema Planet Kita, Kesihatan Kita: Ke Arah Udara, Air dan Makanan Yang Bersih, secara dalam talian hari ini.   

Webinar anjuran bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Pertubuhan Kesihatan Kesihatan Sedunia (WHO), dirasmikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Dr. Rabindra berkata, pandemik kini yang sudah melanda dunia lebih dua tahun terus membebankan alam sekitar dengan pencemaran plastik.

Jelas beliau, barangan plastik yang sering digunakan dalam kehidupan harian seperti beg, botol air dan pembungkusan makanan, secara ketara meningkatkan paras gas rumah hijau serta pencemaran udara dan lautan.

Beliau berkata, ia memberi ancaman buruk terhadap biodiversiti, iklim, kesihatan manusia dan ekonomi global.

 “Minggu lalu, kehadiran plastik mikro dikesan dalam darah manusia disahkan buat pertama kalinya. Pemimpin dunia kini bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa untuk membangunkan satu perjanjian antarabangsa yang mengikat secara undang-undang untuk menghentikan pencemaran plastik.

Sebagai pekerja kesihatan, kita perlu menyumbang kepada usaha global ini untuk mengurangkan beban bahan buangan kesihatan dan plastik guna sekali yang lain.

“Semua kerajaan termasuk Malaysia perlu memperketatkan peraturan dan dasar negara masing-masing, meningkatkan amalan kitar semula yang selamat serta mengurangkan pengeluaran plastik guna sekali,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, sebagai individu dan anggota masyarakat, semua pihak boleh dan perlu menyokong semua usaha ini dengan mengubah tingkah laku, membeli produk bersifat mampan dan memperbaiki amalan kitar semula masing-masing. –UTUSAN ONLINE

Scroll to Top