Kereta peronda polis iring MB Johor terbalik ke bahu jalan

Kereta peronda polis iring MB Johor terbalik ke bahu jalan

KOTA TINGGI: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) polis dipandu seorang anggota terbalik ke bahu jalan semasa melaksanakan tugas mengiring Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Kilometer 76 Jalan Johor Bahru-Mersing, pagi tadi.

Kenderaan tersebut mengiringi Onn Hafiz yang melakukan lawatan ke Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing susulan empat warga asing hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi melibatkan kereta peronda polis jenis Honda Civic.

“Kemalangan ini dipercayai berlaku apabila mangsa (pemandu) dalam perjalanan dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru gagal mengawal kenderaan dipandu ketika melalui selekoh akibat jalan licin serta basah kerana hujan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu terbalik.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa iaitu pemandu berumur 32 tahun mengalami kecederaan ringan dan penumpang yang berumur 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hussin, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 serta boleh juga dipenjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan.

“Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa peka dan patuh undang-undang serta peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya,” katanya. –UTUSAN ONLINE