Komplot dakwa Vellfire dicuri untuk tuntut insurans terbongkar, empat ditahan

am@hmetro.com.my

Padang Besar: Taktik licik seorang penjawat awam mereka cerita kononnya kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik isterinya dicuri bagi membolehkannya membuat tuntutan insurans, akhirnya terbongkar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan semalam bersama tiga lagi individu, termasuk abang kandungnya dalam usaha meleraikan kenderaan berkenaan untuk dijual.

Beliau berkata, semua suspek warga tempatan berusia 32 hingga 45 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini dan Arau.

“Siasatan awal mendapati, pada 16 Julai lalu, suspek utama menghadiri satu kursus di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan memandu MPV berwarna hitam milik isterinya itu.

“Bagaimanapun, keesokan harinya pada jam 8 pagi, suspek tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi mendakwa kenderaan terbabit telah hilang dicuri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Shokri berkata, siasatan lanjut polis bagaimanapun berjaya mengesan komplot berkenaan yang dirancang suspek bersama abangnya yang berusia 45 tahun untuk mendapatkan wang insurans berikutan masalah kewangan yang dihadapinya.

Katanya, kenderaan terbabit sebenarnya dilarikan ke bengkel di Kaki Bukit, di sini untuk dileraikan bagi mendapatkan komponen yang mempunyai nilai pasaran untuk dijual, dengan bantuan dua lagi rakan suspek yang masing-masing berusia 32 tahun.

“Keempat-empat suspek ditahan bagi membantu siasatan dan diserahkan kepada pihak IPD Cheras, Selangor untuk proses prosiding reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan bermotor yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top