Sasaran perdagangan Malaysia -Turkiye AS$10 bilion menjelang 2030 mampu dicapai – Ahmad Zahid

Sasaran perdagangan Malaysia -Turkiye AS bilion menjelang 2030 mampu dicapai – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Istanbul: Sasaran perdagangan antara Malaysia dan Turkiye sebanyak AS$10 bilion (RM40.6 bilion) menjelang 2030 mampu dicapai, terutamanya menerusi perolehan peralatan pertahanan dan keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata imbangan perdagangan antara kedua-dua negara buat masa ini berpihak kepada Malaysia.

“Daripada usaha kedua-dua negara, sasaran itu boleh dicapai, terutamanya dari pihak Malaysia dalam memperoleh peralatan pertahanan dan keselamatan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sesi panel bertajuk “Turkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor” pada TRT World Forum 2026 di sini, hari ini.

Ahli panel lain termasuk Pengarah Pengajian Dasar Luar Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA), Prof Murat Yesiltas; Felo Kanan Bukan Pemastautin Majlis Atlantik, Dr Rich Outzen; Presiden Pusat Arab Amerika, Farah Al-Atassi; dan Timbalan Setiausaha Agung PBB untuk Operasi Keamanan, Jean-Pierre Lacroix.

Forum bertemakan “A World Without a Center: Who Leads When the Rules Run Out?” itu menghimpunkan pemimpin politik, pembuat dasar, ahli akademik, pengamal media dan wakil masyarakat sivil untuk membincangkan isu global.

Forum berkenaan dirasmikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata, Malaysia sudah menerima Kapal Misi Pesisir (LMS) dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dari Turkiye.

Katanya, ini akan mengukuhkan hubungan bukan sahaja dalam bidang pertahanan dan keselamatan, malah dalam perdagangan.

“Saya percaya usaha berterusan akan diambil kedua-dua negara bagi mencapai sasaran berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia melihat kerjasama pertahanan dengan Turkiye sebagai satu pilihan strategik, dan bukan sekadar urusan perolehan semata-mata kerana ia membabitkan pemindahan ilmu dan teknologi.

“Turkiye memegang kedudukan strategik yang menghubungkan Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan kawasan sekitarnya.

“Kerana itulah saya fikir kerjasama rapat antara Malaysia dan Turkiye adalah penting,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengulas bahawa Malaysia memandang status Turkiye sebagai Rakan Dialog ASEAN ke-12, sebagai peluang untuk kerjasama yang lebih terstruktur serta memberi manfaat nyata, dan bukannya sekadar menambah satu lagi platform diplomatik.

Beliau berkata, diplomasi ketenteraan juga penting bagi memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan stabil dari segi politik, serta mengelakkan kuasa besar daripada mempengaruhi negara anggota ASEAN.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berada di Turkiye untuk lawatan kerja empat hari dari 5 hingga 8 November.

Malaysia dan Turkiye menjalin hubungan diplomatik pada 17 Jun 1964, dan sejak itu mengekalkan hubungan rapat dalam bidang politik, ekonomi, perdagangan serta pendidikan.

Malaysia adalah salah satu rakan perdagangan terbesar Turkiye di Asia Tenggara.

Perdagangan dua hala kini berjumlah AS5.6 bilion (RM 22.74 bilion), dan kedua-dua negara berhasrat meningkatkannya kepada AS10 bilion (RM40.6 bilion) menjelang 2030 susulan kesepakatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Erdogan pada Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top