Kuala Lumpur: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan pelancaran rasmi Yayasan Sultan Selangor pada Majlis Santapan Malam Gala Amal Diraja yang diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Sebaik tiba, baginda berdua berkenan melawat pameran khas yang menampilkan paparan retrospektif mengetengahkan 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin.
Tengku Amir Shah yang mempengerusikan Majlis Santapan Malam Amal Diraja bertitah yayasan tersebut merupakan hadiah bermakna sempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan ayahanda baginda, dengan matlamat untuk mewujudkan impak yang berkekalan bagi generasi akan datang.
“Tempoh 25 tahun di atas takhta bukan sekadar satu pencapaian penting. Ia melambangkan suku abad khidmat bakti, bimbingan serta keprihatinan yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Selangor.
“Amatlah wajar untuk kita memperingatinya bukan sekadar dengan sambutan semata-mata, malah melalui satu hadiah yang akan terus memberi manfaat kepada generasi akan datang,” titah baginda.
Tengku Amir Shah bertitah Yayasan Sultan Selangor berpaksikan empat teras utama, iaitu kebajikan masyarakat; pendidikan dan biasiswa; pemeliharaan warisan dan budaya; serta bantuan kecemasan.
Baginda bertitah yayasan tersebut akan bekerjasama rapat dengan Yayasan Raja Muda Selangor dan Selangor Youth Community bagi mewujudkan peluang, membimbing golongan muda serta menyokong kebajikan masyarakat.
Mengenai inisiatif pendidikan yayasan itu, Tengku Amir Shah bertitah penerima pertama Biasiswa Sultan Selangor, Atiqah Nor Azlan telah memulakan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Polisi Awam di Universiti Oxford pada September lepas.
Baginda menzahirkan harapan agar lebih ramai anak muda Malaysia yang layak dapat meraih manfaat daripada sokongan yayasan ini untuk melanjutkan pelajaran di institusi-institusi terkemuka di seluruh dunia.
Tengku Amir Shah bertitah sebahagian daripada dana yang dikumpul semasa majlis santapan malam amal tersebut juga akan disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang telah menjalinkan hubungan erat dengan Sultan Sharafuddin serta kerabat diraja Selangor sepanjang 25 tahun yang lepas.
Majlis tersebut turut menampilkan dokumentari khas bertajuk “25 Years – One Enduring Bond“, terbitan Unit Video Kreatif Bernama TV, yang memaparkan peristiwa penting sepanjang 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




