[DEWAN RAKYAT] Kurang interaksi antara agensi punca lambat salur maklumat banjir

[DEWAN RAKYAT] Kurang interaksi antara agensi punca lambat salur maklumat banjir

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui kelemahan sewaktu menghadapi banjir, agensi yang terlibat tidak menyampaikan maklumat dengan pantas untuk memberi amaran kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, pihaknya kini telah memantapkan libat urus dengan pelbagai agensi supaya selepas ini, amaran dapat diberi lebih awal kepad orang awam.

“Antara kelemahan yang berlaku adalah kurangnya komunikasi antara agensi, dalam memberi amaran banjir atau bencana mahupun interaksi antara agensi yang berada di pusat kawalan bencana. Perkara ini telah mantapkan libat urus dengan pelbagai agensi supaya perkara berkaitan siar raya, amaran daripada awam dapat ditingkatkan,” katanya ketika menjawab soalan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan menjelaskan langkah persediaan yang telah dilaksanakan sejak kejadian bencana banjir tahun lalu bagi meningkatkan kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi bencana banjir khususnya menjelang kedatangan musim tengkujuh tahun ini.

Jelas Anwar, beliau tidak mahu mengetahui kementerian mana yang seharusnya berperanan dalam menyelesaikan masalah banjir ini, kerana apa yang lebih penting nyawa rakyat perlu diselamatkan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Latif berkata, beberapa pendekatan telah diambil di mana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan menghantar keadaan terkini pada setiap hari kepada masyarakat sebagai ‘amaran’ dalam menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

“Kami akui di NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), sewaktu berlakunya monsun timur laut kita akui kelemahan siar raya memberi amaran kepada awam jauh lebih rendah jika dibandingkan siar raya yang dikendalikan media sosial.

“Ekoran itu, program melibatkan lebih ramai peserta libat urus terutama pemimpin di kawasan banjir itu, sebagai contoh MetMalaysia telah menyampaikan amaran banjir melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kawasan setempat tiap-tiap hari supaya rakyat mempunyai pemikiran bahawa mereka perlu didedahkan dengan maklumat terkini,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top