Penunggang motosikal tular khayal, hidu gam ditahan polis

Penunggang motosikal tular khayal, hidu gam ditahan polis

SEREMBAN: Seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan khayal dipercayai menghidu gam seperti yang tular dalam video di media sosial Facebook bulan lalu, ditahan polis di Port Dickson, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek berusia 28 tahun itu dikesan pada pukul 11 pagi semalam hasil daripada risikan berterusan yang dilakukan.

“Suspek ditahan di premis pusat cuci kereta Stesen Minyak Caltex di Jalan Dato’ Haji Abdul Samad, Port Dickson dan dibawa ke Bahagian Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat suspek mengaku menunggang motosikal dalam keadaan khayal dan sedang menghidu gam. Ujian saringan awal air kencing dijalankan ke atas suspek dan mendapati keputusan saringan adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanda berkata, suspek dikenakan tindakan di bawah Kaedah 4 PU(A) 043/73 Kaedah Lalulintas iaitu kesalahan tidak memakai topi keledar dan Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak memperagakan nombor pendaftaran.

“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana tiada lesen memandu dan disiasat bagi lain-lain kesalahan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan rakaman video berdurasi 40 saat yang tular dalam media sosial memaparkan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki yang disyaki berada dalam keadaan khayal.

Menerusi rakaman tersebut, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di Kilometer 267 Lebuh Raya Utara-Selatan menuju arah selatan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.

Dalam rakaman tersebut turut memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kirinya, disyaki sedang melakukan perbuatan menghidu gam. – UTUSAN