Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya membuktikan kes terhadap lima individu yang didakwa terlibat dalam satu skim penipuan sehingga menyebabkan kerugian kepada empat syarikat tersenarai awam berjumlah RM120.6 juta.
Individu berkenaan ialah Tey Por Yee, Lim Chye Guan, See Poh Yee, Francis Tan Hock Leong dan Faizatul Ikmi Abdul Razak selaku defendan manakala syarikat yang terjejas ialah Nexgram Holdings Bhd, R&A Telecommunication Group Bhd, Asdion Bhd serta Ire-Tex Corporation Bhd.
Kenyataan SC hari ini memaklumkan Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin ketika menyampaikan penghakiman semalam, memutuskan bahawa terdapat bukti defendan telah mengambil alih kawalan ke atas keempat-empat syarikat dan melaksanakan usaha pengumpulan dana, yang kemudian disalurkan keluar daripada syarikat terbabit.
Menurut SC, mahkamah mendapati setiap defendan telah melanggar antara lain Seksyen 179 (a), 179(b), 317A dan 370 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA) 2007 serta mengarahkan mereka membayar RM100.6 juta kepada suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 360 akta sama.
“Selain itu, mahkamah memerintahkan defendan membayar penalti sivil berjumlah RM2.65 juta kepada SC, dengan Tey diperintah membayar RM1 juta dan Lim sebanyak RM600,000 manakala See, Tan dan Faizatul masing-masing RM350,000.
“Defendan dilarang menjadi pengarah, atau terlibat, atau mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan mana-mana syarikat tersenarai awam bagi tempoh 10 tahun bermula dari tarikh penghakiman, dan perlu membayar kos berjumlah RM500,000 kepada SC,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa mahkamah turut memerintahkan agar defendan dilarang menguruskan aset mereka sehingga jumlah yang perlu dibayar dilunaskan sepenuhnya.
Sebelum ini, bagi menghalang aset defendan dilupuskan sementara menunggu perbicaraan, SC memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi pada 2022 yang menghalang Tey, Lim, See dan Faizatul daripada berurusan dengan wang dalam akaun bank masing-masing.
Bagaimanapun, SC tidak memohon perintah injunksi terhadap Tan kerana beliau belum dilepaskan daripada status kebankrapannya.
Tey, Lim, See dan Faizatul kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak oleh Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Ogos 2024.
Sebelum ini, SC telah memfailkan saman terhadap kesemua defendan pada 29 Nov 2022 atas dakwaan melaksanakan skim untuk melakukan penipuan dan/atau menyebabkan kerugian tidak sah bernilai RM120.6 juta kepada keempat-empat syarikat.
Di bawah Seksyen 179 CMSA, seseorang dilarang sama ada secara langsung atau tidak langsung menggunakan apa-apa skim untuk melakukan penipuan, atau melibatkan diri dalam sebarang tindakan, amalan atau urusan perniagaan yang bersifat penipuan atau memperdayakan mana-mana pihak berkaitan dengan langganan, pembelian atau penjualan sekuriti.
Sementara itu, Seksyen 317A CMSA melarang mana-mana pengarah atau pegawai syarikat tersenarai melakukan apa-apa tindakan dengan niat menyebabkan kerugian yang tidak sah kepada syarikat terbabit.
Dalam pernyataan tuntutannya, SC mendakwa bahawa antara Disember 2013 dan Julai 2014, Tey, Lim, See dan Tan, dalam pelbagai kapasiti mereka sebagai pengarah dan pegawai bagi empat syarikat tersenarai awam, telah melesapkan dana yang dikumpul manakala Faizatul pula dituduh bersubahat atau memudah cara perbuatan itu.
Perbicaraan yang berlangsung di antara 8 Okt 2025 hingga 29 April lepas 2026 menyaksikan SC memanggil 33 saksi manakala defendan memberi keterangan bagi pihak masing-masing kecuali Tan yang diisytiharkna bankrap dan tidak hadir sepanjang prosiding kes itu.
SC diwakili pegawainya iaitu Ng Chian Huey, Mohd Izuddin Mohamad, Annarina Chacko Jacob, Adibah Saiful Bahri dan Caysseny Tean Boonsiri bersama dengan peguam Christopher Leong, Janet Chai Pei Ying, Calvin Wong Wai Hou serta Jason Kok Jia Qi daripada Tetuan Chooi & Company.
Tey, Lim, See dan Faizatul pula diwakili peguam Datuk C. Vignesh Kumar manakala Tetuan B H Lawrence & Co bertindak sebagai peguam cara mereka.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut memperkukuh akauntabiliti para pengarah dan pegawai yang diamanahkan untuk menguruskan syarikat tersenarai awam.
SC kekal komited untuk memastikan bahawa sebarang salah laku melibatkan penyalahgunaan struktur korporat, penyelewengan dana yang dikumpul dan tindakan menyebabkan kerugian tidak wajar kepada syarikat tersenarai tidak akan dibiarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
