Terima suapan RM700 lepas suspek kes ketum: Polis Koperal mula jalani hukuman penjara 9 bulan

Putrajaya: Seorang anggota polis berpangkat koperal hari ini mula menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan, selepas Mahkamah Rayuan mengembalikan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana menerima suapan RM700 daripada seorang lelaki, bagi melepaskan suspek yang terlibat dalam kes memiliki air ketum.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen, yang memerintahkan Mohamed Syaffiq Mohamed Sidek, 36, membayar denda RM10,000 atau menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal bayar denda berkenaan.

Panel itu membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan, untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen dan menolak rayuan Mohamed Syaffiq Mohamed terhadap sabitan dan hukuman itu.

Sebelum ini Mohamed Syaffiq memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu pelupusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Dalam menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Hakim Noorin berkata perayu (Mohamed Syaffiq) mengakui menerima wang RM700 tersebut, namun gagal membuktikan bahawa penerimaan wang itu bagi tujuan selain daripada tujuan rasuah.

Hakim Noorin berkata mahkamah mengambil kira keseluruhan keadaan yang melatari penyerahan dan penerimaan wang, antaranya wang tersebut diserahkan di luar balai polis dan bukannya dalam suatu keadaan atau pertemuan sosial dan wang tersebut datang daripada rakan saspek dan diterima oleh perayu.

Beliau berkata fakta penerimaan wang RM700 bukan sahaja disokong oleh keterangan saksi-saksi pendakwaan, malah diakui sendiri oleh perayu bahawa beliau telah menerima wang tersebut.

“Dengan terbuktinya fakta penerimaan tersebut, prasyarat bagi pengoperasian Seksyen 50(1) telah dipenuhi dan anggapan statutori berhubung sifat serta tujuan penerimaan wang tersebut berbangkit,” katanya.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuantan mendapati Mohamed Syaffiq bersalah menerima wang suapan tersebut daripada Afiq Hidayatullah Hussin, bagi melepaskan Muhammad Faiz Aiman Mohd Yusof kerana memiliki air ketum.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Kuantan, Ibu Pejabat Polis Kuantan di Jalan Mahkota, Kuantan, Pahang antara 1 tengah hari hingga 2 petang pada 25 Dis 2020.

Pada 9 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi telah membenarkan rayuan Mohamed Syaffiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman, bagi kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan mengantikan dengan sabitan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan serta menjatuhkan hukuman satu bulan penjara.

Mohamed Syaffiq diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed, Melissa Sukri dan Shahidah Muslimah Roslan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dr Ifa Sirrhu Samsudin dan Ezuain Farhana Ahmad, hadir bagi pihak pendakwaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top