WWF-Malaysia, CIMB Islamic jalin kerjasama Projek Inventori Botani Bukit Fraser

WWF-Malaysia, CIMB Islamic jalin kerjasama Projek Inventori Botani Bukit Fraser

WWF-Malaysia dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) melancarkan program Pemuliharaan Terestrial Semenanjung Malaysia yang bertujuan membuat inventori dan mengkatalog khazanah botani di Kompleks Hutan Bukit Fraser.

Selain mengenal pasti kepelbagaian spesis flora, endemisme dan status pemuliharaan, projek inventori botani ini juga akan memberikan penilaian dan cadangan untuk memulihara spesies dan habitat terancam.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Sharif, berkata inisiatif berkenaan sejajar dengan Rangka Tindakan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia yang menekankan kesediaan sistem kewangan Malaysia untuk menjadi lebih mampan dan mesra alam sekitar.

“Kami berharap agar kerjasama dengan WWF-Malaysia akan menyumbang secara positif ke arah penambahbaikan alam sekitar, komuniti tempatan dan ekonomi, sejajar dengan kedudukan jenama baharu Kumpulan CIMB, ‘Melangkah ke hadapan bersama,’ di samping menyemarakkan semangat kemerdekaan menjelang Hari Kemerdekaan yang bakal tiba.”

CIMB Islamic sentiasa tampil ke hadapan untuk menyokong program yang memberi impak positif kepada masyarakat termasuk pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, selari dengan pengantaraan berasaskan nilai (VBI).

“Kerjasama dengan WWF-Malaysia ini sekali gus mengukuhkan komitmen bersama untuk mengurangkan risiko spesies dan habitat terancam di 83,000 hektar Kompleks Hutan Bukit Fraser.

“Sebagai badan korporat yang bertanggungjawab, ia adalah satu keperluan untuk melindungi kebajikan dan kesejahteraan komuniti sekitar termasuk tapak warisan negara seperti Kompleks Hutan Bukit Fraser serta keindahan flora dan faunanya yang unik untuk dinikmati generasi akan datang,” katanya.

WWF-Malaysia, CIMB Islamic jalin kerjasama Projek Inventori Botani Bukit FraserKetua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Sharif menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Projek Inventori Botani Kompleks Hutan Bukit Fraser.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim, Kompleks Hutan Bukit Fraser menepati tiga kriteria Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) yang melayakkannya diiktiraf sebagai ‘Important Plant Area’.

“Hutan pergunungan memiliki khazanah semula jadi yang unik terutama untuk spesis flora yang tumbuh subur dalam iklim yang lebih sejuk. Malah, Kompleks Hutan Bukit Fraser ialah kawasan tadahan yang membentuk beberapa mata air sungai lalu mengalir ke Sungai Pahang, sekali gus memanfaatkan komuniti Orang Asli hingga ke kawasan bandar,” katanya.

Projek yang berlangsung daripada Disember 2021 hingga Disember 2024 ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan dan peranan pelbagai flora dalam ekosistem serta kesejahteraan manusia.

Kumpulan penyelidik telah menginventori hampir 1,500 spesis tumbuhan vaskular menerusi fasa satu yang merangkumi keluasan lebih 3,000 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Sharif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim turut menyertai sesi treking Hemmant Trail.

Sebagai permulaan, pada Jun 2022 lalu, sebuah projek kesedaran secara virtual, ‘Flora Saturday Series’ telah diadakan dan melibatkan seramai 145 orang jumlah peserta.

Antara program yang dirancang ialah Flora of Fraser’s Hill Guidebook, Fraser’s Hill Flora Race dan video lawatan 360 darjah flora dan landskap.

“Menjelang 2030, matlamat utama kami adalah memastikan lebih 360,000 hektar hutan tropika dalam kawasan utama pemuliharaan termasuk Bukit Fraser kekal terjaga dan diuruskan dengan lebih efektif ,” katanya.

Dalam usaha untuk memangkin semangat kelestarian (sustainability) dalam kalangan masyarakat, Kumpulan CIMB bakal menganjurkan sidang kemuncak ‘The Cooler Earth Sustainability Summit’ pada 20 hingga 24 September 2022 dan masuk adalah percuma.

Peserta yang berminat boleh melayari www.coolerearth.cimb.com untuk pendaftaran.

Edisi keempat sidang kemuncak tersebut, di mana WWF-Malaysia turut menjadi rakan kongsi ilmu, akan menghimpunkan para pemimpin, cendekiawan, individu dan ahli perniagaan untuk menggalakkan wacana yang lebih meluas tentang kelestarian dalam membentuk masa depan yang lebih mampan.

CIMB Islamic sumbang RM 443,900 untuk Projek Inventori Botani Bukit Fraser

Sesi fotografi bersama pasukan CIMB Islamic dan WWF-Malaysia selepas selesai aktiviti treking di Hemmant Trail.

Dana berjumlah RM 443,900 ini dapat disalurkan melalui akaun simpanan pertama CIMB Islamic yang memfokuskan kepada kepentingan alam sekitar, EcoSave Savings Account-i (EcoSave).

Menerusi akaun EcoSave, pihak bank akan memberi sumbangan sebanyak 0.2 peratus daripada jumlah purata baki portfolio setiap tahun untuk kepentingan sosial dan hijau.

Pelanggan boleh memilih untuk membuka akaun EcoSave di mana-mana cawangan CIMB Islamic seluruh Malaysia dengan deposit minimum sebanyak RM250.

Selain sumbangan tidak langsung kepada inisiatif hijau, pelanggan yang mengekalkan purata baki RM5,000 tanpa transaksi kaunter dalam jangka masa sebulan akan menikmati RM5 insentif tunai bulanan.

Pelanggan EcoSave juga akan menerima kemas kini laporan suku tahunan melalui emel berkenaan projek terbaharu inisiatif hijau.

Untuk rekod, CIMB Islamic telah menyumbang sebanyak RM3.5 million dengan memberi bantuan kepada 14 projek alam sekitar menerusi EcoSave.

Inisiatif terkini termasuklah tajaan terhadap operasi dan pemeliharaan Taman Tugu dan projek pemuliharaan Setiu Wetlands.

Tonton video CIMB Melangkah Ke Hadapan Bersama di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top