Ujian antibodi Covid-19 berada di pasaran bulan depan

Ujian antibodi Covid-19 berada di pasaran bulan depan

KUALA LUMPUR – Strallex Capital Sdn. Bhd. akan memperkenalkan Kit Ujian Pantas (RTK) Antibodi Neutral Covid-19 di pasaran bagi mengesan antibodi yang dihasilkan oleh sistem daya tahan tubuh manusia sebagai tindak balas kepada virus yang menyebabkan Covid-19.

Ketua Pegawai Operasinya, Glenda Chang berkata, kit ujian itu sudah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebelum diedarkan di farmasi, klinik dan hospital.

Menurut beliau, idea mengeluarkan kit itu bermula Jun tahun lalu dan ia mengambil masa sehingga lima bulan untuk menjalankan penyelidikan.

Ketua Pegawai Operasi Strallex Capital Sdn. Bhd, Glenda Chang menunjukkan produk baru Kit Ujian Pantas Antibodi Nuetral Covid-19 jenama Kouvext ke Pejabat Malaysia Gazette, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2022.

“Idea kit ujian ini timbul sebagai inisiatif untuk mengesan tahap antibodi manusia selepas mengambil dos penggalak pertama dan kedua yang mana berbeza dengan pengambilan dua vaksin sebelum ini.

“Jadi kami mahu menghasilkan produk yang dapat memastikan antibodi badan masih memerlukan dos penggalak atau tidak.

“Apatah lagi, saya mempunyai pendedahan penyakit seperti Hepatitis A dan B yang perlu diuji antibodi badan dulu sebelum mendapat suntikan,” katanya ketika mengunjungi pejabat MalaysiaGazette di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak.

Cara melakukan ujian antibodi Covid-19 menggunakan kit yang dihasilkan oleh Strallex Capital Sdn. Bhd. Foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2022.

Glenda menambah, RTK dihasilkan mengguna teknologi bahan mentah dari luar negara seperti Eropah dan China.

Namun beliau menjelaskan, pihaknya menyimpan visi untuk menghasilkannya di Malaysia pada masa akan datang.

Beliau memberitahu, buat permulaan sebanyak 5,000 unit RTK dikeluarkan sempena pelancarannya pada bulan depan.

“RTK ini sangat mudah apabila darah individu diambil dan keputusan akan diperolehi dalam masa 10 minit.

“Tanda dua baris merah menunjukan keputusan antibodi seseorang masih tinggi manakala tanda satu baris menunjukkan antibodi badan makin rendah dan memerlukan dos pengggalak,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top