TEMERLOH – Impian atlet para lawan pedang negara, Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi untuk mengembangkan bakat dalam arena sukan akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau secara rasmi dilantik sebagai Atlet Program Latihan Pelapis Kebangsaan.
Perkembangan itu diumumkan ketika kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ke kediaman atlet berusia 18 tahun itu di Temerloh baru-baru ini bagi menyampaikan sendiri kontrak lantikannya selain memberikan kata-kata semangat kepada beliau dan keluarga.
Pelantikan tersebut membuka lembaran baharu buat Nik Haziera yang sebelum ini mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila kisah ketabahannya bangkit daripada tragedi kemalangan sehingga kehilangan kaki kanan menjadi inspirasi ramai.

Dr Mohammed Taufiq menyampaikan peralatan sukan lawan pedang kepada Nik Haziera.
Dalam kunjungan berkenaan, Dr Mohammed Taufiq turut memaklumkan bahawa Nik Haziera akan mengikuti pakej latihan sepenuh masa sebagai persediaan mempertingkatkan prestasi dan mengembangkan potensinya di peringkat lebih tinggi.
Pelantikan Nik Haziera sebagai Atlet Pelapis Kebangsaan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja berkaitan pada 27 April lalu, manakala sukan para lawan pedang turut diputuskan menjalani latihan secara sepenuh masa mulai tahun ini susulan pencapaian memberangsangkan di Sukan Para ASEAN sebelum ini.

Dr Mohammed Taufiq berbincang bersama Nik Haziera.
Malah, beliau juga telah menyertai Kem Fasa 1 Sukan Para ASEAN 2027 yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan sebagai persediaan awal menghadapi temasya dwitahunan itu.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Nik Haziera menyimpan impian untuk bergelar atlet negara walaupun dalam masa sama membantu kakaknya, Nik Haznita mengusahakan perniagaan cendol bagi menampung kehidupan keluarga selepas kedua-dua mereka kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya.
Kisah kecekalan dua beradik itu mengundang perhatian ramai apabila mereka memilih untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan berniaga cendol demi membantu meringankan beban keluarga, sambil Nik Haziera terus mengejar cita-citanya dalam sukan para lawan pedang.

Nik Haziera bersama keluarga sempat berswafoto bersama Dr Mohammed Taufiq.
Kunjungan Menteri Belia dan Sukan itu sekali gus menjadi simbol sokongan kerajaan terhadap pembangunan atlet para serta membuktikan bahawa kesungguhan dan semangat juang mampu membuka ruang kepada atlet berpotensi untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Sofian Hamzah dan Pengarah Bahagian Para MSN, Shukri Harun.



