KUALA SELANGOR-Barisan Nasional (BN) negeri dijangka menampilkan ‘nama besar’ sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, BN turut mengetengahkan tokoh muda dan wanita untuk mewakili parti tersebut.
“Senarai nama calon sudah dibincangkan semalam dan perkara itu akan dimuktamadkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh sebenar PRU-15.
“Kita tunggu kerana ini baru pusingan pertama dan (nama calon kerusi Parlimen mewakili BN) akan diumumkan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Ladang di Pusat Belian Padi Sungai Burong hari ini.
Noh berkata, sebagai ahli parti beliau tidak boleh mendahului keputusan pucuk tertinggi dalam soal pemilihan calon.
“Saya hanya berunding, dan keputusan terletak pada kepimpinan untuk menentukan siapa calon sesuai dan layak untuk mewakili BN,”katanya.
Sebelum ini media melaporkan antara nama besar yang disebut-sebut bakal ditampilkan UMNO Selangor adalah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dijangka bertanding di Parlimen Kuala Selangor.
Pemimpin lain yang disebut-sebut sebagai calon BN antaranya bekas Menteri Besar Selangor, Dr.Mohamad Khir Toyo, Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil dan Ketua Penerangan UMNO yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan.
Terdahulu pada PRU-14 lalu, BN hanya memenangi dua daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor iaitu di Parlimen Tanjong Karang dan Sabak Bernam.
Namun, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh pula bertindak keluar daripada UMNO untuk menyertai Bersatu yang menjadikan hanya Noh satu-satunya Ahli Parlimen BN di negeri ini. – UTUSAN




