
Kongres PKR di MITC Melaka ditangguhkan kepada 14 hingga 16 Ogos depan.
SHAH ALAM – Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pada awalnya dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ditangguhkan kepada 14 hingga 16 Ogos depan dengan lokasi dikekalkan di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh, Melaka.
Ketua Penerangannya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketetapan tersebut dibuat menerusi mesyuarat bulanan Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Batu Pahat, Johor sebentar tadi.
Menurut Fahmi, penangguhan itu bertujuan memberi ruang khususnya kepada PKR Johor dan Negeri Sembilan untuk mempertingkat tahap kesiapsiagaan mendepani pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
“Biro Politik juga melantik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sebagai Naib Presiden PKR.
“Ini bagi memperkukuh dan memantapkan lagi organisasi serta gerak kerja parti di peringkat pusat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 berkuat kuasa 1 Jun lepas.
Beliau turut memaklumkan selesai menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan watikah pembubaran DUN Johor diperkenankan pada hari sama.
Jelas Onn Hafiz lagi, pembubaran DUN selaras peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Tiga hari kemudiannya, DUN Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa 5 Jun selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas menghadap baginda di Istana Hinggap pada jam 8.30 malam, Khamis.
Menurut beliau, pembubaran tersebut turut mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.



