LESTARI pacu sektor komunikasi mampan

LESTARI pacu sektor komunikasi mampan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sektor komunikasi dan multimedia negara bakal memacu agenda kelestarian alam sekitar dengan sasaran pengurusan 15 juta peranti elektronik secara mampan menjelang 2030.

Menerusi pelaksanaan LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) yang dilancarkan semalam, oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, peranti yang masih berfungsi akan dibaik pulih, diguna semula, atau dinaik taraf.

Langkah itu bukan sahaja mengurangkan sisa elektronik (e-sisa), malah memperkukuh ekonomi kitaran dan menurunkan kos pemilikan peranti pintar supaya teknologi lebih mudah diakses oleh golongan rentan dan berpendapatan rendah.

Fahmi berkata, inisiatif itu menekankan bahawa kelestarian dan kemajuan teknologi harus bergerak seiring.

“Melalui LESTARI, kita mempunyai peluang untuk membina sektor komunikasi dan multimedia yang lebih berdaya saing, bersedia mendepani masa hadapan dan mampan, di mana kesalinghubungan, keterangkuman, kemajuan teknologi dan kelestarian seiring untuk manfaat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian menyempurnakan pelancaran Majlis Pelancaran LESTARI Sustainability Framework & Roadmap 2030 di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Selain kelestarian alam sekitar, pelaksanaan program di bawah rangka kerja ini dijangka bakal memberikan manfaat sosial secara langsung kepada lima juta rakyat Malaysia menerusi pelbagai program impak sosial.

Rangka kerja yang dibentuk hasil sesi libat urus bersama 116 peserta daripada 47 organisasi ini berlandaskan tiga teras utama iaitu; Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar, Impak Sosial dan Keterangkuman, serta Teknologi dan Inovasi.

Ia turut menyokong penuh aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal tahun 2050, sejajar dengan dasar negara seperti Malaysia MADANI dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Bagi memastikan kelancaran usaha ini di peringkat industri, MCMC turut memperkenalkan Net Zero & Circularity Alliance (NZCA). Platform ini berfungsi untuk menggembleng kerjasama pemain industri dalam mengurangkan pelepasan karbon dan meluaskan kempen pengumpulan serta kitar semula peranti secara lebih tersusun.

Pelaksanaan setiap inisiatif ini akan dipantau secara berkala melalui petunjuk yang ditetapkan bagi memastikan matlamat komunikasi mampan menjelang 2030 direalisasikan sepenuhnya.

Majlis pelancaran turut menyaksikan 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital memeterai ikrar komitmen sokongan terhadap LESTARI dan NZCA.

Sementara itu, dalam ucapan pelancaran, Fahmi juga berkata cadangan untuk meneliti penggunaan tenaga melibatkan kira-kira 60,000 menara telekomunikasi di seluruh negara wajar diberi perhatian.

Beliau berkata, penelitian itu penting memandangkan jumlah diesel yang diperlukan untuk mengoperasikan sesebuah menara telekomunikasi setiap bulan bukan dalam kuantiti yang kecil.

“Jadi, saya lihat ada beberapa cadangan yang wajar dipertimbangkan untuk kita teliti. Dalam negara kita mungkin ada dalam 60,000 menara di seluruh negara.

“Boleh bayangkan jumlah tenaga yang digunakan untuk memastikan 60,000 menara telekomunikasi ini terus aktif dan dalam talian,” katanya.

Menurut Fahmi, aspek kelestarian penggunaan tenaga perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan sektor komunikasi dan teknologi negara dapat diteruskan pada kadar yang baik.

Katanya, kerajaan mahu menghimpunkan rakan strategik daripada pelbagai sektor bagi membincangkan kerangka kerjasama, termasuk kemungkinan menyediakan insentif untuk menggalakkan peralihan kepada penggunaan tenaga yang lebih mampan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top