Trio pecut buka kempen basikal trek

Trio pecut buka kempen basikal trek

PETALING JAYA: Mohd Akmal Nazimi Jusena menjadi perhatian apabila Malaysia membuka kempen berbasikal trek Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi acara pecut berpasukan lelaki di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.

Berbanding rakan sepasukan, Muhammad Fadhil Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom yang sudah biasa dengan trek berkenaan, Akmal hadir sebagai satu-satunya anggota trio yang belum pernah berlumba di Izu, sekali gus menuntut penyesuaian pantas sebelum saingan bermula.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri, bagaimanapun percaya keadaan itu tidak seharusnya menjadi masalah besar kerana hampir semua pelumba negara sudah mempunyai pengalaman berlumba di velodrom berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Izu mempunyai laluan lurus yang panjang dan selekoh yang tajam, jadi ia mempunyai ciri berbeza berbanding velodrom lain.

“Jika dibandingkan dengan Velodrom Nasional di Nilai, ia juga kira-kira satu meter lebih lebar dan kecerunan trek sedikit lebih curam pada 45 darjah berbanding 44 darjah di Nilai,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.

Perbezaan kecil itu menjadikan pemahaman terhadap trek penting dalam acara pecut berpasukan yang menuntut keserasian dan ketepatan setiap pelumba, lebih-lebih lagi Akmal perlu merasai sendiri karakter Izu buat kali pertama.

“Ia sedikit lebih sesuai untuk pelumba yang lebih besar dan berkuasa kerana mereka boleh mendapatkan lebih banyak momentum.

“Hampir semua pelumba kami sudah biasa dengan trek ini kerana pernah berlumba di sini sebelum ini, cuma Akmal yang pertama kali berada di sini,” katanya.

Akmal akan bergandingan dengan Fadhil dan Ridwan dalam acara pecut berpasukan lelaki, dengan trio berkenaan perlu memastikan faktor pengalaman berbeza di Izu tidak mengganggu keserasian ketika perlumbaan membuka tirai hari ini.

Velodrom Izu yang dibuka pada 2011 itu merupakan satu-satunya velodrom tertutup 250 meter dengan trek kayu di Jepun, menjadikan pengalaman menyesuaikan diri dengan cirinya antara perkara yang perlu diberi perhatian skuad negara.

Untuk rekod, Fadhil, Ridwan, dan Umar Hasbullah meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan lelaki pada edisi Hangzhou 2022. – UTUSAN

Scroll to Top