latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad merayu pengundi menolak tiga gabungan parti utama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok yang didakwa terbabit dalam penyalahgunaan kuasa, rasuah dan merosakkan negara, demi kepentingan peribadi.
Presiden PEJUANG yang juga bekas Perdana Menteri itu menegaskan, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) wajar ditolak kerana langsung tidak menunjukkan kesungguhan mendaulatkan bangsa, agama dan negara.
“Inilah rayuan saya kepada semua pengundi di seluruh negara. Tolak sama sekali tiga buah parti ini, dan beri sokongan kepada Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding sebagai PEJUANG.
“Kami akan mendirikan kerajaan yang baik. Yang tidak akan terpesong dengan tamak haloba diri sendiri. Inilah perjuangan GTA dan PEJUANG. Jika diberi kuasa sebagai kerajaan, kita akan lakukan yang terbaik bagi negara tercinta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perjuangan Demi Tanah Air di Langkawi, malam ini.
Acara itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook Rasmi Dr Mahathir dan PEJUANG.
Mengupas lanjut, Dr Mahathir berkata, sekiranya PEJUANG mendapat mandat rakyat, parti itu akan memperbaiki semua kerosakan yang dilakukan ketiga-tiga parti berkenaan, ketika menjadi kerajaan.
“Sama ada (kita menang) melalui kerjasama dengan pihak lain atau sendirian, kita ingin memperbaiki keburukan yang menimpa negara sejak ditadbir tiga buah parti yang tak sedikit pun sayang kepada bangsa, negara dan agama.
“Kita perlu ubah, tukar kerajaan yang ada (sekarang) supaya kerajaan yang akan didirikan akan memperbaiki semua yang dirosakkan oleh tiga buah parti yang terdahulu,” katanya.
Dr Mahathir berkata, pengundi juga perlu sedar dan tidak melakukan kesilapan sama dengan mengekalkan kerajaan yang terbukti memporak- perandakan negara.
“Esok hari, tuan-tuan dan puan-puan bersama ahli keluarga dan rakan akan keluar mengundi, diharap supaya undilah parti yang bersih daripada jenayah. Takkanlah kita nak cari sebuah kerajaan yang terdiri daripada pencuri dan penjenayah. “
“Jika kita pilih tiga parti ini, maka malapetakalah yang akan menimpa negara. Kita cuba lihat apabila BN jadi kerajaan, bagaimana daripada ‘Asian Tiger’, negara kita menjadi (sebuah negara) kleptokrasi,” katanya.
Dalam rayuan terakhirnya kepada orang muda khasnya pengundi kelompok Undi18, Dr Mahathir yang juga calon Parlimen Langkawi berkata, golongan belia perlu menjalankan tanggungjawab mengembalikan Malaysia sebagai negara yang bersih, cekap dan beramanah.
“Jangan sesekali pilih orang yang tak baik untuk jadi kerajaan kerana mereka akan hancurkan negara kita. Apabila anak muda ambil alih jadi kerajaan, mereka dapati tidak ada apa dalam negara kita.
“Kekosongan sahaja yang ada kerana semua yang telah dibangunkan, telah dimusnahkan oleh orang yang tua, yang jadi kerajaan dahulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




