KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH), Hannah Yeoh mendakwa keputusan undi dari Segambut tidak dapat diumumkan lagi susulan keengganan Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengesahkan Borang 14 kepada ejen tempat mengundi dan ejen kiraan undi (PACA) parti itu.
Perkara itu dimaklumkan Hannah yang juga penyandang kerusi Parlimen itu menerusi akaun Twitternya, sebentar tadi.
“Tiada keputusan dapat dikeluarkan kerana KTM tidak mahu menandatangani Borang 14 kepada PACA kami,” katanya.
Bagaimanapun, tidak dijelaskan punca sebenar mengenai isu terbabit.
Sebagai rekod, Borang 14 juga dikenali sebagai Borang Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi dan perlu ditandatangani oleh KTM.
Tanpa borang terbabit yang besertakan tandatangan KTM, pengesahan mengenai kemenangan mana-mana calon pilihan raya tidak boleh diisytiharkan.
Borang 14 itu turut mengandungi maklumat yang perlu ada dalam borang ini termasuk senarai semua calon bertanding, nama parti politik dan jumlah undi.
Pada Pilihanraya Umum ke-15, Parlimen Segambut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Hannah, V Prabagaran (PN) dan Datuk Daniel Ling Sia Chin (BN).
© New Straits Times Press (M) Bhd




