Tuah Elly dapat lagu Aina

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Percaturan penyanyi, Elly Mazlein berkolaborasi dengan Aina Abdul menerusi single terbaru, Dusta Cinta tidak sia-sia apabila ‘trending’ dalam laman YouTube.

Empat hari dimuat naik, single ciptaan Aina dengan lirik dihasilkan Wan Zakaria itu pantas menambat hati peminat hingga meraih lebih 100,000 tontonan.

Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanapi, 41, terkejut dengan reaksi positif peminat dan berharap lebih sejuta tontonan diraih.

Artis serba boleh yang melangkah ke dunia seni sejak 1997 itu berterima kasih kepada syarikat rakaman, Life Record yang akur dengan kehendaknya memilih Aina menjadi komposer bagi projek single itu.

Elly mengagumi Aina sejak kali pertama mendengar lagu Sumpah ciptaan dan dendangannya.

“Biarpun boleh dianggap pendatang baharu, Aina memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang muzik yang baik,” katanya kepada BH Online.

Elly berkata, dia tidak mengambil masa yang lama membuat keputusan menerima single ciptaan lagu Aina.

Sebaik diberikan demo Dusta Cinta, hatinya terus terpikat dengan keindahan melodi single itu.

Malah, katanya, Aina melakukan kajian dengan menilai vokalnya terlebih dahulu sebelum menghasilkan karya berkenaan.

“Aina buat kajian dengan mendalami karakter vokal saya. Dia tahu tahap ketinggian vokal saya.

“Jadi, single Dusta Cinta dicipta mengikut kesesuaian dan keselesaan saya.

“Tempoh rakaman untuk single ini tidak mengambil masa yang lama. Proses rakaman hanya mengambil masa kira-kira tiga jam sahaja,” katanya.

Mengulas pemilihan lirik Bahasa Korea yang diselitkan dalam single itu, Elly berkata, idea itu tercetus kerana dirinya peminat tegar produk Korea Selatan.

Selain itu, Elly sedar ramai peminat sukakan produk muzik, drama dan filem dari negara itu.

“Sebaik peminat tahu lirik dalam bahasa Korea diselitkan dalam single Dusta Cinta, saya dapat banyak mesej daripada mereka yang tidak sabar melihat saya menyanyikan lagu ini secara langsung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top