Banjir berulang lepas sebulan

Banjir berulang lepas sebulan

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Hujan lebat sejak tengah malam tadi, menyebabkan keseluruhan kawasan Jalan Balau, Taman Desaru Utama di sini, dinaiki air.

Bukan sahaja ia berulang selepas sebulan, namun banjir kali ini disifatkan antara yang terburuk oleh penduduk taman berkenaan kerana air naik hingga 0.5 meter.

Seorang penduduk, Zainon Omar, 51, berkata banjir yang berlaku itu adalah kali ketiga yang menjejaskan kediamannya sejak menetap di taman berkenaan.

Katanya, kali pertama banjir di kawasan berkenaan adalah pada 2021 dan kedua bulan lalu.

“Baru sebulan lebih rumah kami dilanda banjir. Hari ini sekali lagi kami diuji. Ketika banjir Disember lalu, kami rugi kira-kira RM3,000 kerana banyak perabot yang rosak.

“Kali ini kami tidak tahulah keadaan barang-barang dalam rumah kerana saya dimaklumkan oleh jiran air sudah naik hingga 0.5 meter,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Desaru Utama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainon yang tinggal di Jalan Balau 2 berkata, dia terpaksa memapah ibunya, Azizah Khamis, 76, bersama suami dan anak-anak bagi meredah banjir selepas mendapati air mula memenuhi ruang parkir rumahnya.

“Saya sudah mula bekerja hari ini, namun saya sentiasa memantau perkembangan di rumah daripada anak-anak sebelum mereka memaklumkan air sudah naik di hadapan rumah pada 12 tengah hari.

“Saya bergegas balik untuk menyelamatkan ibu serta dokumen penting dan terus berpindah ke PPS kerana memikirkan keadaan ibu yang uzur.

“Saya memang tidak bawa pakaian langsung kerana sangka banjir ini sekejap sahaja, tetapi kami dimaklumkan petang ini berlaku air pasang besar selain keadaan cuaca yang masih hujan,” katanya.

Tinjauan di sekitar Jalan Balau, Taman Desaru Utama itu mendapati akses ke kediaman di taman berkenaan dinaiki air sehingga menghalang laluan bagi semua jenis kenderaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Md Johari Dol, 67, berkata kawasan perumahan itu mula dinaiki air pada jam 7 pagi susulan hujan lebat.

Namun, katanya air mulai surut pada jam 9 pagi kerana hujan berhenti, tetapi kembali naik apabila hujan kembali lebat.

“Kira-kira jam 11 pagi, air sudah mulai masuk ke dalam rumah. Air sangat deras dan dalam tempoh dua jam sahaja, air masuk ke dalam rumah dengan cepat,” katanya yang menaiki kenderaan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top