mahaizura@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh Pasir yang menuduh Perdana Menteri tidak membawa apa-apa agenda semasa lawatannya ke luar negara serta ucapan berbaur penghinaan kepada rakyat Malaysia, mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan Ahli Parlimen blok kerajaan.
Nik Muhammad ketika membahaskan Titah Diraja menyentuh sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggunakan peluang ke luar negara bagi menarik dan meyakinkan pelabur.
“Saya ucap terima kasih Perdana Menteri ke luar negara ke sana ke mari, Insya-Allah mudah-mudahan hubungan diplomatik itu ada, tetapi kebimbangan saya tingkah laku Perdana Menteri yang sepatutnya dia bawa agenda… hubungan dagangan jelas bukan pergi secara tergesa-gesa.
“Kalau kita tengok ucapan dia sampaikan itu boleh memberi kekurangan keyakinan kepada pelabur asing untuk datang ke negara kita.
“Contohnya ucapan di Indonesia seolah-olah menghina rakyat Malaysia yang ada menyebut secara general, lagi banyak sebut nama Allah lebih banyak berzikir lebih banyak bocor.
“Saya rasa saya pun tak nak sebut banyak Perdana Menteri ini jangan nampak orang lain seolah-olah dia bersih sangat ke?
“Saya rasa dalam dewan ini tak ada lagi orang yang dipenjarakan tetapi Perdana Menteri kita sudah masuk penjara walaupun diberi pengampunan takut nanti tak bersih,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan Nik Muhammad itu kurang disenangi Howard Lee Chuan How (Ipoh Timur-PH) yang meminta penjelasan kerana ucapannya terlampau menyimpang.
Namun tidak diendahkan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu sebelum dicelah Howard menggunakan ‘point of order’ Aturan Mesyuarat Peraturan 36 (6).
Howard: Yang Berhomat (YB) sebut tadi Perdana Menteri ke luar negara dengan tiada agenda? Sila buktikan lawatan ini jika tiada sebarang agenda seperti disebutkan…
Nik Muhammad: YB kena korek telinga
Howard: Ini tempat speaker (Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor) buat keputusan, saya belum habis lagi
Ramli: Sebentar Pasir Puteh
Howard: Seolah-olah langsung tak agenda sebab YB tak tahu ada agenda ke tak sebab hanya memetik ucapan di Indonesia tak boleh pukul rata. Jadi sila buktikan sekiranya tak boleh buktikan sila tarik balik sebab hujahnya tak berapa masuk akal. Tak tahu kata tak tahu.
Ramli seterusnya memberitahu beliau memahami apa dimaksudkan Howard sebelum mengarahkan Nik Muhammad meneruskan sesi, namun mendapat celahan daripada RSN Rayer (Jelutong-PH).
Rayer: Saya minta panduan, perkataan ucapan Perdana Menteri di luar negara yang menghina rakyat Malaysia itu tak patut, saya minta panduan memandangkan perkara itu disahkan boleh ke YB tarik balik kenyataan itu?
Ramli: Biar saya buat keputusan, saya rasa bahagian itu tarik balik.
Nik Muhammad: Saya sebut seolah-olah
Ramli: Yelah, seolah-olah itu, kalo kita lihat kepada peraturan 36 (6) ini boleh diinterpresikan untuk menjaga keharmonian Dewan Rakyat. Tarik balik.
Nik Muhammad akur dengan arahan Ramli itu meneruskan sesi berkenaan dengan menyebut mengenai sindiran titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, Isnin lalu sebelum Ramli meminta Ahli Parlimen Pasir Puteh itu menggulung perbahasan berkenaan.
Bagaimanapun, Rayer tidak berpuas hati memohon mencelah dengan menggunakan Aturan Mesyuarat Peraturan 36 (6).
Ramli: Ya YB Jelutong, perkara mana?
Rayer: Ucapan YB saya perhatikan, tingkah laku dan ucapan YB membuat sumpah terhadap kerajaan ini. Adakah begitu?
Ramli: Jelutong sila duduk. YB Pasir Puteh, sila selesaikan dan gulung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




