PETALING JAYA: Kuching City FC melakar sejarah tersendiri apabila melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama selepas menundukkan Selangor FC 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Berbekalkan keputusan seri 1-1 pada perlawanan pertama, skuad The Cats tampil dengan disiplin tinggi untuk menyerap asakan bertali arus pelawat yang diketuai Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal.
Namun, ketika Selangor buntu memecah kebuntuan, tuan rumah mencuri tumpuan menerusi sentuhan magis Petrus Shitembi pada minit ke-30.
Rembatan padu dari luar kotak penalti itu menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz sekali gus menggamatkan ribuan penonton di stadium.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor menggandakan tekanan dalam babak kedua, namun momentum mereka musnah apabila kapten, Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah pada minit ke-52 selepas semakan VAR mendapati beliau menghalang peluang jaringan jelas.
Malang terus menimpa skuad Gergasi Merah Kuning apabila Mukhairi Ajmal turut diarah keluar padang 11 minit kemudian susulan terjahan keras, sekali gus memaksa Selangor beraksi dengan sembilan pemain.
Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya Kuching City yang kekal tenang mengawal permainan hingga wisel penamat, sekali gus menempah tiket ke final dengan agregat 2-1.
Kemenangan ini bukan sahaja memahat sejarah buat kelab dari Bumi Kenyalang itu, malah mengukuhkan reputasi mereka sebagai pencabar baharu dalam kancah bola sepak tempatan.
Manakala Selangor pula terpaksa melupakan impian ke final dan mengalih tumpuan kepada baki saingan liga dalam merebut kedudukan naib juara liga.-UTUSAN




