Chattanooga: Sepanyol tetap yakin mampu menjulang trofi Piala Dunia meskipun berdepan krisis kecederaan yang menjejaskan pilihan pemain di bahagian sayap, kata pertahanan, Marcos Llorente.
Pemain sayap Athletic Bilbao, Nico Williams menyifatkan kecederaan terbaharunya sebagai ‘antara hari paling buruk dalam hidupnya’ selepas mengalami semula kecederaan otot ketika membantu Sepanyol menewaskan Uruguay 1-0, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu masih berpeluang kembali beraksi jika Sepanyol mara lebih jauh dalam kejohanan itu.
Pada perlawanan sama, Yeremy Pino turut mengalami kecederaan tulang selangka yang menyebabkan dirinya terlepas aksi pusingan 32 terbaik menentang Austria, Jumaat ini.
Pemain baharu Liverpool, Victor Munoz pula masih belum membuat penampilan di Piala Dunia selepas kecederaan otot yang dialaminya kembali berulang.
“Buat Nico, ini memang tempoh yang sangat sukar selepas segala yang dilaluinya, tetapi itulah sebahagian daripada kehidupan sebagai pemain bola sepak.
“Dia kini menghadapinya dengan lebih baik dan senyumannya sudah kembali. Sudah tentu jauh di sudut hati dia sedih kerana tidak dapat membantu pasukan, tetapi kami semua sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
“Begitu juga dengan Yeremy. Kami datang ke sini sebagai satu pasukan yang terdiri daripada 26 pemain dan kami sangat bersatu. Jika kami mara lebih jauh, mungkin dia masih sempat membantu pasukan,” kata Llorente.
Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal sudah beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan Sepanyol di Piala Dunia, namun masih belum bermain selama 90 minit kerana pengendali, Luis de la Fuente mengambil pendekatan berhati-hati selepas pemain berusia 18 tahun itu pulih daripada kecederaan hamstring.
Juara Eropah itu memerlukan Yamal berada pada tahap terbaik sekiranya mahu bersaing merebut kejuaraan dalam kejohanan yang turut diserikan aksi pemain bintang seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe, Erling Haaland, Vinicius Junior dan Harry Kane.
Namun, Llorente percaya kekuatan sebenar Sepanyol adalah semangat berpasukan dan bukannya bergantung kepada pemain bintang semata-mata.
Skuad kendalian Luis de la Fuente kini tidak tewas dalam 34 perlawanan kompetitif dan masih belum dibolosi sebarang gol di Piala Dunia.
“Saya tidak fikir pemain bintang boleh menang tanpa pasukan.
“Memang mereka mampu mencipta perbezaan, tetapi mereka sentiasa memerlukan sokongan rakan sepasukan.
“Ya, pemain bintang penting, tetapi ini bukan kejohanan untuk individu. Bola sepak hari ini lebih bergantung kepada kekuatan satu pasukan berbanding seorang pemain sahaja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




