Potter akui Perancis pasukan sempurna

Potter akui Perancis pasukan sempurna

East Rutherford: Jurulatih Sweden, Graham Potter mengakui betapa besar cabaran sedang menanti pasukannya apabila berdepan Perancis di pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026, Rabu ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Sweden perlu bermain dengan aksi terbaik yang pernah mereka tampilkan untuk menewaskan salah satu pasukan pilihan dalam kejohanan itu.

“Mereka mempunyai kualiti di semua posisi. Sudah tentu kami menghormati lawan kami. Mereka pernah memenangi Piala Dunia dan mempunyai seorang jurulatih yang hebat.

“Satu cabaran yang mengujakan menanti kami dan kami perlu bermain dalam perlawanan terbaik dalam hidup kami, itu sudah pasti,” kata Potter.

Sweden yang berada di ranking ke-38 dunia manakala Perancis di tangga ketiga, layak ke pusingan kalah mati sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik pada peringkat kumpulan.

Mereka mara selepas persembahan turun naik di peringkat kumpulan dengan mereka membelasah Tunisia 5-1, dibelasah Belanda dengan keputusan sama, sebelum bangkit daripada ketinggalan untuk seri 1-1 berdepan Jepun.

Kini mereka berada di pentas terbesar bola sepak dunia menentang pasukan yang mungkin paling digeruni dalam bola sepak antarabangsa ketika ini.

“Kami perlu memastikan pemain mempunyai keyakinan dan memahami cabaran yang menanti kerana kami akan menentang sebuah pasukan hebat.

“Namun, kami mahu merebut peluang yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup untuk bermain di stadium ini menentang salah satu pasukan terbesar dunia, di Piala Dunia, di New York,” kata Potter.

Perancis memiliki jentera serangan yang sangat digeruni, diketuai Kylian Mbappe dan pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele.

Mereka menjaringkan 10 gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, namun Sweden juga mempunyai barisan serangan yang berbahaya.

Viktor Gyokeres dari Arsenal, Alexander Isak dari Liverpool dan Anthony Elanga dari Newcastle United semuanya sudah memberi impak dalam kejohanan itu setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top