Penghantar makanan dakwa upah tidak adil, pendapatan terjejas

Penghantar makanan dakwa upah tidak adil, pendapatan terjejas

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Pekerja syarikat penghantaran makanan di negeri ini meminta ibu pejabat syarikat menggajikan mereka supaya menyemak dan menilai semula kadar bayaran upah serta pembesaran zon kawasan bekerja yang dikatakan tidak adil.

Ini selepas sekumpulan pekerja berkenaan mendakwa sistem baharu yang diperkenalkan sejak tahun lalu itu seolah-olah menindas mereka apabila kadar bayaran upah diterima semakin berkurangan, sedangkan jarak mengambil serta menghantar makanan semakin jauh.

Wakil pekerja, Mohamad Zulfizri Zulkifli, 33, berkata, lebih mengecewakan kadar bayaran upah yang diterima dalam kalangan pekerja juga berbeza mengikut ranking (kedudukan) padahal mengambil pesanan di tempat sama dan menghantarnya juga di lokasi sama.

“Hal ini amatlah pelik dan sudah tentu tidak adil, justeru kami memerlukan pihak ibu pejabat (syarikat) tolonglah nilai semula, dulu ada perkiraan tetap (kadar bayaran upah) sekarang kami tidak tahu dengan sistem yang baharu.

“Pihak ibu pejabat juga meminta rider (pekerja penghantaran) bekerja selama 15 jam, walaupun ia bukan satu paksaan tetapi kami bekerja juga untuk jaga performance (prestasi) supaya kedudukan kami terjaga tetapi ini yang berlaku,” katanya.

Mohamad Zulfizri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat bantahan berhubung isu berkenaan di pejabat syarikat penghantaran makanan di Taman Pauh Jaya, di sini, hari ini.

Hampir 100 pekerja syarikat penghantaran berkenaan berkumpul mengadakan bantahan secara aman bagi memastikan keluhan mereka didengari pihak atasan.

Menurut Mohamad Zulfizri, mereka masih mahu terus bekerja kerana ia pekerjaan yang sudah lama dilakukan tetapi berharap pihak syarikat dapat menunaikan tanggungjawab sepatutnya.

“Jika dahulu kami dibayar antara RM6.50 ke RM7 bagi setiap penghantaran tetapi kini bayaran yang diterima hanya sekitar RM4, ia memang menjejaskan pendapatan kami.

“Sekarang ini, tempahan pula semakin berkurang manakala rider semakin bertambah, sudah pasti bagi kami yang bekerja secara sepenuh masa terjejas. Kami berharap ada jalan penyelesaian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top