LANGKAWI – Cadangan memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke lokasi lain memberi kesan negatif terhadap ekonomi pelancongan serta pembangunan jangka panjang Pulau Langkawi.
Presiden Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi, Raseli Yahya berkata, pihaknya melihat sebarang cadangan pemindahan acara bertaraf antarabangsa itu perlu diteliti secara menyeluruh seperti impak terhadap sektor pelancongan, ekonomi tempatan dan pelaburan dibangunkan di Langkawi sejak lebih tiga dekad lalu.
Menurut beliau, LIMA dan Langkawi merupakan satu jenama yang berkembang bersama sejak penganjuran pertama acara tersebut pada 1991.
“LIMA memberi limpahan ekonomi terbesar terhadap komuniti perniagaan setiap kali diadakan dan pemindahan ke lokasi lain berpotensi menyebabkan kehilangan peluang ekonomi kepada komuniti perniagaan tempatan yang sekian lama menyokong pembangunan pelancongan Langkawi.
“Antara sektor menerima manfaat secara langsung ialah hotel dan resort, syarikat sewa kenderaan, ejen pelancongan, pengusaha bot, restoran, pemandu pelancong, peruncit serta pengusaha produk tempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai langkah kerajaan meneroka alternatif menganjurkan LIMA di Melaka pada masa depan.
Jelas Raseli, sepanjang tiga dekad, LIMA bukan sahaja menjadi pameran maritim dan aeroangkasa bertaraf antarabangsa, malah membentuk identiti Langkawi di mata dunia.
Menurutnya, kerajaan juga telah membuat pelaburan besar dalam pembangunan pelbagai infrastruktur dan kemudahan sokongan bagi memastikan kejayaan penganjuran LIMA di Langkawi selama ini.
“Sekiranya LIMA dipindahkan ke lokasi lain, akan timbul persoalan mengenai pulangan dan penggunaan optimum terhadap pelaburan dibuat selama lebih 30 tahun. Perkara ini perlu dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat,” jelasnya.
Tambah beliau, fokus utama ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuhkan daya saing Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara berbanding memindahkan penganjuran LIMA ke lokasi lain.
Katanya, beberapa isu utama memerlukan perhatian termasuk status bebas cukai, kos penerbangan tinggi pada musim tertentu, perkhidmatan pengangkutan laut serta aspek kebolehcapaian pelancong.
“LIMA bukan sekadar acara pertahanan dan aeroangkasa, sebaliknya merupakan antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan industri pelancongan Langkawi.
“Semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri, agensi pelancongan, pemain industri, pengusaha dan komuniti perniagaan perlu diberi ruang untuk mengemukakan pandangan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai masa depan LIMA,” katanya.
Pada 24 Mei tahun lalu, media melaporkan LIMA 2025 mencatatkan kehadiran kira- kira 450,000 pengunjung daripada kesemua kumpulan komersial dan perniagaan termasuk delegasi dari dalam negara dan antarabangsa selain orang awam.