Siapa lagi akan sokong artis tempatan jika bukan PM Anwar? – Nga

Siapa lagi akan sokong artis tempatan jika bukan PM Anwar? – Nga

Kuala Lumpur: Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke konsert Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mencerminkan sokongan kerajaan terhadap artis tempatan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata sokongan sedemikian penting bagi membangunkan industri kreatif negara, termasuk muzik dan seni yang berpotensi menjadi antara sumber pendapatan serta memperkukuh kuasa lembut Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Jika Perdana Menteri tidak menyokong artis tempatan, siapa lagi yang akan menyokong artis tempatan? Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi?” katanya kepada media selepas merasmikan Anugerah Tandas Terbaik Malaysia 2026 (TOTYA’26) di sini malam ini.

Nga berkata usaha membangunkan ekonomi jingga perlu diberi perhatian bagi memastikan penggiat seni tempatan, termasuk artis, pelukis dan pemuzik, berpeluang menjana pendapatan serta memperoleh sumber kehidupan melalui hasil karya mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk membangunkan dana ekonomi jingga bagi memperkasakan industri muzik tempatan dan menyokong penggiat seni negara.

Beliau berkata usaha itu tidak seharusnya terhad kepada seorang artis sahaja, sebaliknya merangkumi penggiat seni lain yang mampu mengharumkan nama Malaysia, khususnya menerusi persembahan kebudayaan yang menonjolkan identiti negara di pentas dunia.

“Jika Amerika Syarikat bangga dengan Taylor Swift, mengapa kita tidak boleh berbangga dengan Siti Nurhaliza?” katanya.

Terdahulu, ketika menjelaskan perkara itu di Parlimen, Anwar berkata kehadiran beliau di Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas adalah atas undangan khas selain sebagai sokongan terhadap usaha memperkasakan seni, warisan dan budaya tempatan.

Perdana Menteri berkata konsert tradisional itu mempamerkan keindahan seni warisan menerusi elemen wayang kulit, tarian tradisional, serta persembahan kebudayaan dari Sabah dan Sarawak, sekali gus menyerlahkan kekayaan warisan dan lagu klasik tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top