'Kami berlindung dalam bakeri' – Pelajar Malaysia kongsi detik cemas rusuhan di Perancis

'Kami berlindung dalam bakeri' – Pelajar Malaysia kongsi detik cemas rusuhan di Perancis

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penuntut Malaysia di Perancis berdepan detik cemas apabila terpaksa bersembunyi dan berlindung di sebuah kedai bakeri selepas terperangkap berhampiran lokasi rusuhan di bandar Le Havre, Normandie, Sabtu lalu.

Penuntut tahun dua jurusan Pengurusan Perniagaan EM NORMANDIE Business Schools, Fatin Nur Elleyana Suresh Amiruddin, 20, berkata, ketika insiden rusuhan tercetus dia berada di luar kawasan kerana menyiapkan tugasan akademik universiti.

Menurutnya, dia mula menyedari berada berhampiran lokasi rusuhan apabila keadaan mula kecoh, sebelum bertindak mencari perlindungan di sebuah kedai bakeri berdekatan kerana bimbang keselamatan dan mengelak kejadian tidak diingini.

“Saya bernasib baik kerana pemilik kedai bakeri sangat prihatin dan cuba menenangkan saya, beberapa keluarga serta kanak-kanak turut berlindung di situ.

“Beberapa jam kemudian, saya pulang ke pangsapuri apabila keadaan benar-benar selamat dan hanya berada di rumah sepanjang hujung minggu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fatin Nur Elleyana berkata, demonstrasi dan rusuhan berlaku di depan pangsapurinya yang terletak berhampiran stesen kereta api utama, laluan pengangkutan awam dan Universiti Le Havre kerana majoriti penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar sekolah serta penuntut kolej awam.

Katanya, situasi demonstrasi menjadi lebih tegang kerana disertai tindakan membakar harta benda awam.

“Le Havre adalah sebuah bandar yang aman dan demonstrasi sebelum ini sekadar membabitkan perarakan membawa sepanduk. Namun, insiden kali ini lebih serius apabila penunjuk perasaan pelajar serta pergerakan ‘gilets jaunes’ bergabung.

“Sesi pengajian di universiti berjalan seperti biasa kerana keadaan kembali terkawal dalam tempoh singkat,” katanya.

Katanya, pihak universiti, Kedutaan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA) sangat prihatin dengan keselamatan penuntut dengan sentiasa mengemas kini status harian serta memberikan panduan keselamatan.

“Kami turut diminta memastikan maklumat perhubungan terkini didaftarkan menerusi portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri bagi memudahkan urusan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

“Buat masa ini, kami mengurangkan pergerakan luar yang tidak penting, kekal berada di pangsapuri dan hanya ke universiti untuk menghadiri kuliah.

“Kami sentiasa bersedia mematuhi sebarang nasihat dan arahan keselamatan daripada pihak kedutaan serta universiti,” katanya.

Sementara itu, Ammar Ajwad Muhamad Sanuzi, 20, pula berkata, dia tidak menyangka demonstrasi yang lazimnya berlangsung secara aman di bandar Le Havre, bertukar ganas sehingga polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan.

“Jumlah penunjuk perasaan begitu ramai dan ada yang membakar tong sampah dan harta awam.

“Kebetulan semasa kejadian, saya pergi ke bandar Le Havre untuk menghantar barang kepada rakan dan secara tidak sengaja menyaksikan demonstrasi yang agak besar itu.

“Rakan-rakan saya berlindung di sebuah kedai bakeri bersama penduduk tempatan apabila kumpulan penunjuk perasaan semakin menghampiri kawasan pertemuan kami,” katanya.

Pelajar tahun kedua jurusan Pengurusan Perniagaan di EM Normandie Business School itu berkata, tiada kejadian kedai dipecahkan atau bangunan dibakar di bandar Le Havreseperti yang dilaporkan terjadi di beberapa bandar lain di Perancis.

“Saya dan pelajar lain menerima beberapa peringatan supaya sentiasa berhati-hati susulan kejadian berkenaan.

“Saya berharap insiden seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 500,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh Perancis pada Sabtu bagi membantah peningkatan kos sara hidup.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top