PN akan kemukakan rayuan kepada KDN dalam kadar segera – Takiyuddin

PN akan kemukakan rayuan kepada KDN dalam kadar segera – Takiyuddin

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pembatalan gabungan parti itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dengan kadar segera.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya mempunyai tempoh 30 hari untuk membuat rayuan mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

“Kita akan kemukakan rayuan dalam masa beberapa hari ini dan kini dalam proses mempersiapkan perkara berkenaan.

“Terserah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk memutuskannya kerana keputusannya adalah muktamad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Jelajah Himpunan & Munajat Panyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian, di sini, malam ini.

Terdahulu, media melaporkan RoS mengesahkan membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top