Peniaga didakwa ambil peluang tidak pamer harga

Peniaga didakwa ambil peluang tidak pamer harga

am@hmetro.com.my

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan Seksyen 8 (1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973 bagi mewajibkan peniaga mempamer tanda harga pada barang jualan.

Ini berikutan tinjauan CAP ke atas gerai makan, pasar basah, pasar malam, restoran dan kedai runcit sekitar Pulau Pinang mendapati ramai peniaga secara terang-terangan melanggar Akta Kawalan Harga berkenaan.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, kesalahan berlaku di gerai yang mana harga jualan minuman dan makanan tidak mempunyai senarai harga.

Menurutnya, selain itu senarai harga di restoran pula tidak dikemas kini dan mengelirukan pelanggan yang percaya bahawa makanan itu dikekalkan pada harga lama.

“Apabila tidak memaparkan harga yang betul, pengguna seolah-olah ‘ditipu’ apabila membayar pesanan atau pembelian mereka.

“Menurut akta itu, adalah menjadi tanggungjawab penjual memaklumkan kepada pembeli mengenai harga, namun kekurangan penguatkuasaan menghalang keberkesanan undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berikutan itu CAP menyeru KPDN mengambil tindakan dan menguatkuasakan undang-undang ini dengan tegas serta mendakwa semua yang melakukan kesalahan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top