KUALA LUMPUR – Rinani Group Berhad (Rinani) iaitu firma perunding kewangan, secara rasminya menjadi pemilik Kuala Lumpur City FC Sdn. Bhd. (KLFC) apabila menandatangani perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk memperoleh pegangan majoriti dalam kelab tersebut.
Pengarah Rinani, Azri Azerai berkata, melalui SSA itu, secara rasmi menjadikan Rinani sebagai pemilik majoriti KLFC dan berjanji untuk membawa prestasi KLCFC di atas padang ke tahap yang lebih tinggi.
Kata beliau, pihaknya akan menumpukan perhatian kepada kejurulatihan, pengambilan pemain dan pembangunan remaja serta menjanjikan peminat keterlibatan Rinani dan pengalaman yang lebih baik untuk nilai wang mereka.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada KLFA atas semua yang telah mereka lakukan selama ini untuk kelab dan kami akan membinanya untuk membawa KLCFC ke peringkat seterusnya.
“Kami akan berusaha ke arah mengadakan lebih banyak kerjasama korporat dan penajaan untuk kelab itu mampan dari segi kewangan serta memastikan tahap latihan yang boleh membawa kelab ke peringkat antarabangsa.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan beliau terhadap usaha kami dan untuk menggalakkan pertumbuhan bola sepak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden KLFA Khalid Abdul Samad berkata, ini adalah hari bersejarah bagi KLCFC dengan pemilikan majoriti KLFC beralih kepada Rinani melalui penswastaan kelab adalah demi kepentingan semua pihak yang terlibat dalam sukan bolasepak profesional, termasuk pemain, penyokong, penaja dan vendor yang berkait rapat dengan kelab selama ini.
“Kami mendoakan agar tindakan ini akan mendatangkan kejayaan kepada bukan sahaja KLCFC dan Rinani Group tetapi juga KLFA itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette




