am@hmetro.com.my
Machang: Gangguan bekalan air membabitkan 34,000 akaun pengguna di Machang, Kota Bharu Selatan dan sebahagian Pasir Puteh, dekat sini, dijangka pulih secara berperingkat mulai esok.
Gangguan itu berlaku susulan kebocoran paip air mentah di Mengkebang, Pulai Chondong, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerja pembaikan dilaksanakan segera oleh pasukan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebaik menerima laporan kebocoran.
“Paip buatan GRP yang berusia kira-kira 10 tahun ini didapati mengalami kakisan sehingga menyebabkan bahagian dindingnya menipis.
“Kerja pembaikan yang bermula Jumaat lalu berjalan lancar dan bahagian yang bocor dijangka selesai ditampal, hari ini,” katanya selepas meninjau kerja pembaikan paip di Pulai Chondong di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Pengeluaran AKSB, Mohd Hilmi P Ramli.
“Bagi membantu penduduk terjejas, sebanyak enam lori tangki AKSB, lima lori tangki kontrak dan 13 lori tangki bantuan operator luar dari Kedah, Pahang, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor serta Perak digerakkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, paip berkenaan akan diganti baharu kerana pernah mengalami kebocoran sebanyak tiga kali sebelum ini.
“Proses penggantian membabitkan jajaran sepanjang 800 meter dengan kos dianggarkan RM3 juta yang diperuntukkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“Ia dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


