Kuala Lumpur: Kejayaan merangkul tempat ketiga Miss World 2026 dan dinobatkan sebagai Miss Asia di pentas berprestij Miss World 2026 di Nha Trang, Vietnam malam tadi bukan sekadar pencapaian peribadi bagi Taanusiya Chetty, malah juga sebagai hadiah istimewa buat seluruh rakyat Malaysia.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 26 tahun yang mesra disapa Taanu itu menyifatkan sokongan moral dan doa tanpa henti daripada seluruh warga Malaysia sebagai ‘senjata’ utama kejayaannya mengulangi sejarah yang pernah dilakar 28 tahun lalu.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyokong Taanu sepanjang pertandingan Miss World di Vietnam ini. Taanu bersyukur sangat dapat cipta sejarah kali kedua untuk negara tercinta.
“Sebab 28 tahun lalu kita pernah dapat 2nd runner-up juga, dan selepas sekian lama, inilah satu lagi sejarah untuk tanahair kita. Terima Kasih Malaysia sokong dan percaya kepada saya,” katanya ketika dihubungi Bernama,
Pada acara kemuncak pertandingan akhir Miss World itu, Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominika dinobatkan sebagai juara, manakala Elisabeth Reynes Alabern dari Sepanyol meraih tempat kedua.
Taanusiya melayakkan diri ke kelompok enam terbaik selepas menjuarai segmen Beauty With A Purpose (BWAP), iaitu antara komponen paling penting dalam pertandingan itu dengan mengetepikan saingan sengit wakil Zimbabwe, Brunette Makanyiso.
Sebagai acara berteraskan kebajikan dalam Miss World, BWAP memberikan tumpuan kepada peserta yang memperjuangkan projek kemanusiaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan di negara masing-masing.
Susulan kemenangan dalam segmen itu, Taanusiya akan menyertai Dominguez untuk menjelajah ke seluruh pelosok dunia bagi menjalankan pelbagai tugasan kemanusiaan dan yang berkaitan.
Tampil anggun dalam persalinan merah jambu hasil pereka fesyen Vietnam, Minh Tuan Couture, Taanusiya memukau juri pada pusingan soalan peringkat enam terbaik menerusi jawapan bernas mengenai tanggungjawab melindungi alam sekitar.
Dalam jawapannya, Taanusiya mengaitkan profesionnya sebagai guru membantunya memberikan penekanan kepentingan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam seawal usia sekolah melalui aktiviti menanam pokok bagi mendidik kanak-kanak mengenai nilai pertumbuhan, kesabaran dan tanggungjawab.
Taanusiya berkata, peranan sebagai pendidik memberikan ruang kepadanya untuk memupuk kesedaran alam sekitar seawal usia persekolahan, khususnya menerusi aktiviti menanam pokok.
“Itu juga merupakan tanggungjawab untuk mereka percaya tumbuhan turut memerlukan masa untuk membesar daripada benih yang mereka semai. Bayangkan anda sedang menyusuri jalan yang penuh dengan ribut petir tanpa ada sesiapa yang sudi menghulurkan payung.
“Saya mahu menjadi guru yang sebegitu yang menawarkan sokongan kepada para pelajar, tanpa mengira latar belakang mereka, benih yang mereka semai memerlukan masa untuk membesar. Apabila anda berbuat demikian, anda akan memberikan inspirasi kepada ramai orang di seluruh dunia,” katanya.
Aksi cemerlang Taanusiya bukan sahaja memikat hati juri, malah juga dihujani pujian warganet serta peminat ratu cantik sama ada tempatan atau luar negara yang teruja dengan kebijaksanaan dan cara beliau membawa imej Malaysia dengan anggun di persada antarabangsa.
Kejayaan Taanusiya menduduki tempat ketiga menyamai pencapaian terbaik Malaysia yang pernah dilakar oleh Lina Teoh pada 1998, di samping mengembalikan nama negara ke kelompok tiga terbaik dunia selepas penantian selama 28 tahun.
Sebelum ini, Taanusiya menarik perhatian ramai apabila fasih berucap dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil ketika sesi Head-to-Head Challenge bagi benua Asia dan Ocenia pada 23 Ogos lalu.
Dia juga aktif mempromosikan inisiatif kemasyarakatan menerusi Be The Change Malaysia yang turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada misi advokasinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


