SHAH ALAM – Pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) diminta memberikan segala bantuan diperlukan keluarga pelajar yang dilapor meninggal dunia ketika menyertai Program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) UiTM Se-Malaysia 2026 di UiTM Kampus Jengka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, permintaan itu dibuat demi memastikan kebajikan semua peserta yang terlibat terus diberikan perhatian.
“Menerima perkhabaran dukacita mengenai pemergian Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh,” ujarnya menerusi Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, seorang pelajar UiTM dilaporkan meninggal dunia manakala lapan orang lagi mengalami sawan dan tidak sedarkan diri ketika menyertai Program KKEC UiTM Se-Malaysia 2026 di UiTM Kampus Jengka, Maran.
Zambry turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, sahabat-sahabat dan seluruh warga UiTM.
“Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” ujarnya.

