Banglo dalam resort jadi 'markas' sindiket penipuan

Banglo dalam resort jadi 'markas' sindiket penipuan

am@hmetro.com.my

Melaka: Sebuah banglo mewah dalam kawasan resort di daerah ini dikesan dijadikan pusat operasi sindiket penipuan cinta (love scam) dan pinjaman tidak wujud sebelum kegiatan itu ditumpaskan polis pada jam 3 petang semalam.

Sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan mangsa di Vietnam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, seramai 15 lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan itu, yang terdiri daripada 14 warga Vietnam dan seorang warga China.

Katanya, siasatan awal mendapati premis dua tingkat itu dijadikan pusat panggilan bagi kegiatan penipuan sejak awal bulan ini dengan menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mencari dan menghubungi mangsa.

“Pemeriksaan ke atas premis menemui 11 set komputer pelbagai jenama, 24 telefon bimbit, alat kawalan jauh, alat penterjemah serta 15 pasport.

“Keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM43,400. Setiap suspek dipercayai dibayar kira-kira RM2,500 seorang untuk menjalankan kegiatan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalannya Superintendan Azrul Mohamed.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam pada itu, Halim berkata, 14 warga China ditahan dalam serbuan pada Selasa di empat bilik penginapan sebuah hotel di sekitar Melaka Raya, selepas premis disyaki dijadikan pusat operasi sindiket penipuan pelaburan dalam talian.

Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak pertengahan September lalu dengan menyasarkan warga China sebagai mangsa, manakala suspek menerima upah RM3,000 untuk menjalankan kegiatan itu.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 55 tahun. Rampasan dilakukan antaranya, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, empat komputer riba, sebuah tablet, alat penterjemah, lima unit telefon bimbit, 96 kad SIM prabayar serta wang tunai RM6,400.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM47,500 dan kesemua 14 suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Polis Melaka menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan telefon daripada individu tidak dikenali, terutama yang meminta maklumat peribadi atau perbankan serta mengarahkan transaksi kewangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top