PRN Melaka: PN belum muktamad agihan kerusi dengan BN

PRN Melaka: PN belum muktamad agihan kerusi dengan BN

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) belum memuktamadkan pengagihan kerusi bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual berlangsung pada 14 November depan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang persetujuan berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi kedua-dua gabungan itu masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, masih terdapat masa untuk kedua-dua pihak memperincikan bentuk kerjasama serta pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Belum muktamad lagi, ada banyak hari lagi, berapa? 10 hari lagi,” katanya selepas sidang akhbar di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembahagian kerusi PRN Melaka melibatkan BN sebanyak 21 kerusi, manakala PN pula tujuh kerusi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Barisan Nasional (BN) mengesahkan kerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual berlangsung pada 14 November depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan mengenai pengagihan kerusi antara kedua-dua pihak telah dimuktamadkan.

Menurut beliau, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas bersama rakan gabungannya akan bertanding di tujuh kerusi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu masih belum dimuktamadkan dari segi bentuk dan perinciannya.

“Kerjasama tetap kerjasama, tetapi belum lagi muktamadkan kerjasama, bentuk kerjasama dan sebagainya,” katanya.

Scroll to Top