Selangor buru status hab Muaythai ASEAN

Selangor buru status hab Muaythai ASEAN

sukan@hmetro.com.my

Shah Alam: Persatuan Muaythai Negeri Selangor (PMNS) merancang menganjurkan Liga Selangor ASEAN pada Jun tahun depan dalam usaha memperluas pendedahan antarabangsa kepada atlet tempatan, selain menjadikan Selangor sebagai hab Muaythai serantau.

Presiden PMNS, Muhammad Amir Luqman berkata, kejohanan julung kali itu menyasarkan penyertaan beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Brunei dan Singapura.

Bagaimanapun, katanya, sokongan kerajaan negeri amat diperlukan bagi merealisasikan perancangan berkenaan, terutama dari segi penyediaan venue bersesuaian serta kemudahan penginapan untuk atlet dan pegawai pasukan.

Beliau yakin PMNS mempunyai keupayaan mengendalikan kejohanan berkenaan berdasarkan pengalaman bekerjasama dengan Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dalam penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Dari segi kesediaan dan pengurusan teknikal, kami yakin tidak akan menghadapi masalah kerana sudah bekerjasama dengan Persatuan Muaythai Malaysia yang berpengalaman menganjurkan kejohanan besar peringkat dunia.

“Cuma, kami memerlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan negeri, khususnya dari segi fasiliti dan kemudahan yang boleh digunakan sepanjang kejohanan itu nanti.

“Saya juga yakin Persatuan Muaythai Malaysia tiada masalah untuk menyokong perancangan yang cuba kami laksanakan,” katanya pada sidang media sempena Liga Muaythai Selangor (SML) Vol 5 The Finale 2026.

SML Vol 5 The Finale 2026 dijadual berlangsung di Dewan Sri Siantan, Selayang, pada 31 Oktober dan 1 November ini.

Siri kemuncak bagi musim 2026 itu dijangka menghimpunkan 400 peserta amatur, selain menampilkan tujuh pertarungan profesional yang membabitkan perebutan dua tali pinggang profesional, tiga tali pinggang amatur dan dua trofi amatur.

Kejohanan itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM35,000 bagi kategori pertarungan profesional.

“Tiga tali pinggang amatur itu juga boleh dicabar semula dalam penganjuran edisi tahun hadapan bagi meneruskan persaingan dan memberi sasaran kepada atlet untuk meningkatkan prestasi mereka,” kata Amir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top