GEORGE TOWN : Pemandu yang dipercayai merempuh sebuah motosikal sehingga menyebabkan dua individu terbunuh dalam satu kemalangan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran susur Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi tadi telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira pukul 1 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad ketika mengesahkan perkara itu berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan ketika kejadian, dia memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan bagaimanapun mendapati, lelaki yang berasal dari Bukit Jambul itu negatif daripada sebarang penggunaan dadah.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Suspek akan direman esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kemalangan tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu iaitu seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 22 dan 20 tahun meninggal dunia selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti ketika menaiki motosikal.
Sementara itu, Abdul Rozak berkata, hasil bedah siasat mendapati, mangsa lelaki yang menunggang motosikal meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan leher manakala wanita yang membonceng motosikal itu pula disahkan maut akibat kecederaan parah di kepala.-UTUSAN




