90 peratus penjawat awam di Sabah bertugas di pejabat

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Kehadiran penjawat awam di Sabah ke pejabat akan ditingkatkan kepada 90 peratus daripada 50 peratus sebelum ini, bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ia selaras keputusan kerajaan negeri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak Jumaat lalu.

“Semua ketua organisasi hendaklah memastikan kehadiran penjawat awam ke pejabat mencapai tahap 90 peratus pada waktu bekerja manakala 10 peratus dibenarkan bekerja dari rumah dengan kelulusan ketua organisasi.

“Kerajaan negeri sekali lagi mengingatkan semua penjawat awam supaya mematuhi sepenuhnya peraturan semasa dan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan KKM atau pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Kehadiran penjawat awam di Sabah ditetapkan kepada 50 peratus sejak akhir tahun lalu sejajar usaha mengurangkan risiko penularan COVID-19 di pejabat.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri mengenai COVID-19 Sabah berkata Sabah mencatat 71 kes baharu COVID-19 hari ini dengan dua kematian, masing-masing di Kota Kinabalu dan Keningau.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang dibenarkan keluar hospital pada hari ini pula ialah seramai 129 orang menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 52,290 orang setakat ini.

“Pesakit sedang menerima rawatan pula ialah seramai 594 orang iaitu 220 orang di hospital, 372 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam dan dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS),” katanya.

Hari ini, katanya, lapan daerah masih berada dalam Zon Merah dengan Nabawan mencatat jangkitan baharu COVID-19 tertinggi, iaitu sebanyak 19 kes, diikuti Kota Kinabalu, 10 kes.

Masidi berkata, lapan daerah pula berada dalam Zon Jingga, diikuti 10 daerah dalam Zon Kuning dan satu daerah iaitu Tongod kekal dalam Zon Hijau.

“Sebanyak 12 daerah tidak mencatat sebarang kes baharu pada hari ini, manakala hanya dua daerah iaitu Nabawan dan Kota Kinabalu mencatat kes dua angka dan daerah selebihnya pula mencatat kes satu angka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top