Sorok dalam tong roro elak ditahan penguat kuasa

Sorok dalam tong roro elak ditahan penguat kuasa

am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Disebabkan takut ditahan, ada pekerja warga asing yang nekad bersembunyi dalam tong roro dipenuhi sampah plastik bagi mengelak penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Situasi itu berlaku dalam Operasi Mega JIM Selangor di sebuah kilang di kawasan perindustrian Telok Gong di sini, hari ini.

Ada juga di antara mereka yang menyorok di belakang almari dan celah kotak pembungkungsan, namun semuanya berjaya ditahan hasil ketangkasan anggota penguat kuasa.

Ketika dihampiri dan ditanya kenapa menyorok di dalam tong roro, pekerja warga Bangladesh berusia 20 tahun itu mendakwa tidak faham dan tidak tahu berbahasa Melayu

Dia yang menjawab dalam bahasa Inggeris serta bahasa ibundanya kelihatan gelisah dan rakannya yang membantu menterjemah jawapan pekerja itu memaklumkan dia melarikan diri kerana takut.

Selain itu, dua lagi warga Bangladesh yang ditemui dalam pakaian comot dan rambut dipenuhi habuk selepas menyorok di belakang perabot almari.

Terdahulu dalam pertama di Meru, beberapa pekerja warga asing mengaku mempunyai dokumen pengenalan diri namun tidak dibawa ketika bekerja.

Timbalan Pengarah JIM Selangor (Kawalan) K Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 270 pendatang asing tanpa izin ditahan ditahan dalam operasi yang berlangsung di dua kilang plastik itu.

“Di lokasi pertama, seramai 66 pekerja warga asing diperiksa dan 18 ditahan membabitkan 18 lelaki warga Bangladesh, seorang Nepal dan seorang Myanmar.

“Di lokasi kedua, seramai 520 pekerja warga diperiksa dan 252 ditahan membabitkan 175 warga Bangladesh, 39 warga Pakistan, 33 orang Nepal, empat warga Myanmar dan seorang Sri Lanka.

“Kesemua yang ditahan adalah lelaki yang berumur lingkungan 18 hingga 50 tahun dan rata-rata kesalahan dilakukan adalah tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 8 pagi tadi diadakan selepas risikan selama dua hingga tiga minggu yang membabitkan 50 keanggotaan.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top