Wanita disah mati tiga dekad, rupanya masih hidup

Wanita disah mati tiga dekad, rupanya masih hidup

Washington: Mengejutkan apabila seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) yang disahkan meninggal dunia selepas hilang lebih tiga dekad lalu, muncul semula dan didapati masih hidup di Puerto Rico.

Berita disampaikan oleh keluarga dan polis yang mengesahkan penemuan wanita bernama Patricia Kopta itu.

Kopta yang kini berusia 83 tahun kali terakhir dilihat di Pittsburgh, Pennsylvania, pada 1992, apabila penyiasat mula menyiasat kehilangan wanita berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perbandaran Ross Brian Kohlhepp pada Jumaat berkata, Kopta dikenali dengan nama ‘Sparrow’.

Kopta, yang menghidap demensia tinggal di rumah jagaan apabila diselamatkan tujuh tahun selepas dia dilaporkan hilang.

Suaminya, Bob Kopta berkata, dia berkahwin dengan Kopta selama 20 tahun sebelum kehilangan isterinya.

“Lega rasanya apabila dapat tahu dia (Kopta) tidak berbaring di dalam parit di suatu tempat, atau dibunuh di suatu tempat,” katanya.

Lelaki berusia 86 tahun itu berkata, keluarga mengesyaki isterinya mungkin berada di Puerto Rico, tetapi disahkan meninggal dunia, kira-kira 25 tahun lalu.

Pesara juruelektrik itu juga berkata, dia sudah berunding dengan pakar psikiatri berhubung keadaan isterinya.

Menurut Bob, Kopta mempunyai dua adik perempuan, seorang kembar, yang meninggal dunia enam tahun lalu, dan seorang lagi berasa lega apabila mengetahui kakaknya masih hidup.

Katanya, dia berperang dengan emosi selama ini tetapi berpuas hati apabila mengetahui isterinya masih hidup.

“Selepas 30 tahun saya cuba melupakannya. Sekarang saya boleh melupakannya. Kami tahu apa yang berlaku, dan dia dijaga dengan baik sekarang,” katanya.

Bob berkata, isterinya dulu pernah bekerja sebagai pengendali lif di Institut Seni Pittsburgh.

Sebelum kehilangannya, doktor di pusat kesihatan mental yang berpangkalan di AS mengesahkan Kopta, mempunyai tanda-tanda skizofrenia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top