am@hmetro.com.my
Jasin: Kerajaan negeri dijangka mengumumkan insentif khas kepada pesawah bagi mengurangkan beban kos operasi yang meningkat susulan kenaikan harga diesel ketika ini.
EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu diambil selepas sesi libat urus bersama pesawah baru-baru ini yang mendapati kos penggunaan jentera meningkat sehingga 40 peratus.
Susulan itu, katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi mencari solusi menyelesaikan masalah golongan terbabit.
“Insya-Allah, minggu hadapan akan ada sedikit insentif untuk mereka.
“Pada Isnin ini akan diadakan satu lagi sesi libat urus, manakala selepas Mesyuarat Mingguan EXCO pada Rabu pula, Ketua Menteri dijangka mengumumkan satu berita gembiran untuk pesawah di negeri ini,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbukanya Merlimau, malam tadi.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman serta Ab Rauf bersama lebih 35,000 pengunjung menghadiri majlis berkenaan.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, langkah membantu pesawah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan terus bertahan dalam keadaan semasa, sekali gus dapat mengekalkan pengeluaran beras tempatan.
“Usaha ini diharap dapat membantu pesawah supaya mereka terus menjalankan tugasan mereka.
“Di Melaka, kita mempunyai kira-kira 1,500 hektar tanah sawah padi dan kerajaan akan berusaha membantu sedaya upaya untuk memastikan semua kawasan ini terus diusahakan,” katanya.
Serentak dengan itu, beliau turut menggesa semua petani tampil berdaftar dengan Jabatan Pertanian bagi membolehkan data lengkap diperoleh, sekali gus memudahkan penyaluran bantuan sekiranya berlaku sebarang bencana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




