Atlanta: Masa depan Rudi Garcia selaku ketua jurulatih Belgium mula menjadi tanda tanya selepas keputusannya mengeluarkan Thibaut Courtois ketika aksi suku akhir Piala Dunia mengundang kritikan hebat.
Garcia dikecam selepas menggantikan penjaga gol utama itu pada minit ke-71 ketika Belgium terikat 1-1 dengan Sepanyol walaupun Courtois merasakan dia masih mampu meneruskan permainan.
Keputusan itu akhirnya memakan diri apabila penggantinya, Senne Lammens gagal menangkap kemas rembatan Pau Cubarsi sebelum Mikel Merino menjaringkan gol kemenangan Sepanyol pada minit ke-88.
Pengulas bola sepak Belgium, Peter Vandenbempt menyifatkan keputusan itu sukar diterima.
“Anda mengeluarkan penjaga gol terbaik dunia dalam aksi suku akhir Piala Dunia hanya kerana dia tidak lagi mampu melakukan sepakan jauh? Saya langsung tidak dapat memahaminya.
“Mungkin Garcia terlalu berpegang kepada prinsip bahawa pemain yang tidak 100 peratus cergas tidak boleh terus bermain. Namun pemain seperti Courtois tentu lebih tahu keadaan dirinya,” katanya.
Garcia bagaimanapun mempertahankan tindakannya dan menegaskan beliau tidak mahu mengambil risiko sehingga memburukkan lagi kecederaan penjaga gol Real Madrid itu.
“Sejak awal Piala Dunia saya sudah jelaskan hanya pemain yang benar-benar cergas akan diturunkan. Peraturan itu turut terpakai kepada Thibaut.
“Kami memerlukan sepakan jauhnya untuk mencari Charles De Ketelaere dan Romelu Lukaku. Saya juga tidak mahu kecederaannya menjadi lebih serius, jadi saya tidak menyesal dengan keputusan itu,” katanya.
Kontrak Garcia dijangka dinilai sebelum berakhir hujung bulan ini, dengan Persatuan Bolasepak Belgium dijangka membuat keputusan sama ada beliau kekal membimbing pasukan menjelang kempen Euro 2028.
Bekas jurulatih Lille itu dilantik pada awal 2025 bagi mengembalikan semula kekuatan Belgium selepas era Domenico Tedesco, dan berjaya memenuhi sasaran awal apabila mengekalkan Belgium dalam Liga Negara-Negara, melayakkan diri ke Piala Dunia serta membawa pasukan hingga ke suku akhir.
Namun, pendekatan taktikal, pertukaran pemain dan pengurusan perlawanannya terus menjadi bahan perdebatan, sekali gus menjadikan masa depannya bersama Belgium masih belum menentu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




