Johor Bahru: Pakatan Harapan (PH) akan menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai ‘kayu ukur’ untuk menilai semula strategi parti menjelang PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung dalam tempoh kira-kira tiga minggu lagi.
Pengarah Jentera PRN Johor PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, parti itu akan meneliti secara menyeluruh corak pengundian dan faktor yang mempengaruhi keputusan PRN Johor sebelum merangka pendekatan yang lebih berkesan.
Menurutnya, PH akan kembali ke ‘war room‘ bagi mengenal pasti kelemahan, meneliti isu yang timbul serta menyusun semula strategi sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita mahu mengekalkan pentadbiran di bawah PH di Negeri Sembilan.
“Kita mempunyai rekod pentadbiran yang baik di Negeri Sembilan dan kita berkeyakinan (Menteri Besar) Datuk Seri Aminuddin akan meneruskan keupayaan kita di Negeri Sembilan.
“Saya akan berbincang berkenaan calon-calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan jika tidak silap, pada 14 haribulan (14 Julai) nanti kita akan mengumumkan senarai calon PH,” katanya pada sidang media di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, PH turut akan meneliti keputusan mengikut setiap saluran mengundi dan lokaliti bagi mengenal pasti perubahan pola sokongan serta memperhalusi strategi menjelang PRN Negeri Sembilan.
PRN Negeri Sembilan Ke-16 ditetapkan berlangsung pada 1 Ogos ini, dengan hari penamaan calon pada 18 Julai, membabitkan pertandingan bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada PRN 2023, PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN.
PH pula menguasai 17 kerusi menerusi DAP (11), PKR (llima) dan AMANAH (satu), manakala BN memenangi 14 kerusi serta Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh lima kerusi.
Senarai penuh keputusan rasmi PRN Johor ke-16
© New Straits Times Press (M) Bhd




