London: Gary Lineker tidak pernah menerima layangan kad sepanjang 16 tahun kariernya namun bekas penyerang England itu dalam bahaya dilayangkan ‘kad merah’ oleh majikannya, BBC kerana membela pelarian yang cuba datang ke Britain.
Lineker menjadi pengacara rancangan bola sepak utama BBC ‘Match of the Day’ selama lebih daripada 20 tahun dan bekas pemain berusia 62 tahun yang berkarisma itu tidak pernah gentar untuk menyuarakan pendapatnya mengenai isu politik seperti Brexit.
Sebagai pekerja bergaji tertinggi BBC, Lineker adalah wajah utama dalam liputan sukan bola sepak.
Walaupun syarikat itu mempunyai garis panduan kesaksamaan yang ketat, itu tidak menghalang Lineker daripada menyatakan pandangannya di Twitter di mana beliau mempunyai lebih 8.7 juta pengikut.
Semalam menteri dalam negeri Britain, Suella Braverman menggariskan cadangan untuk menghalang hampir semua pendatang melintasi Selat Inggeris.
Lineker menyifatkan dasar itu sebagai ‘lebih mengerikan’ dan ‘sangat kejam’.
Beliau menulis di Twitter bahawa bahasa yang digunakan dalam cadangan itu tidak ada beza dengan bahasa Nazi Jerman, sekali gus memaksa BBC untuk mengadakan perbincangan dengan pengacara itu selepas Braverman membuat aduan.
Lineker mengatakan beliau akan terus bercakap untuk mereka yang tidak mempunyai suara.
“Saya tidak pernah mengenali kasih sayang dan sokongan sebegitu dalam hidup saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap seorang daripada anda,” tambahnya di Twitter.
© New Straits Times Press (M) Bhd




