Wan Ahmad Fayhsal beri bayangan Hamzah bakal presiden parti baharu

Wan Ahmad Fayhsal beri bayangan Hamzah bakal presiden parti baharu
Wan Ahmad Fayhsal beri bayangan Hamzah bakal presiden parti baharu

Gambar yang dimuat naik oleh Wan Ahmad Fayhsal di laman Facebooknya.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi bayangan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal menjadi presiden parti baharu.

Menerusi kenyataan panjang yang dimuat naik di Facebook, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa sokongan yang diberikan kepada Hamzah bukan satu kesilapan, malah dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman serta penelitian yang mendalam terhadap perjalanan parti.

“Saya 100 peratus yakin berdasarkan ilmu, pengetahuan langsung dan siasatan rapi saya sendiri bahawa menyokong, mendokong dan mempertahankan Datuk Seri DS Hamzah adalah tindakan yang tepat.

“Insya-ALLAH tidak lama lagi beliau selaku presiden parti baharu kami,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Hamzah merupakan pemimpin yang lemah serta hanya berjaya menduduki jawatan Timbalan Presiden kerana diberi laluan oleh kepimpinan parti.

Sebaliknya, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Hamzah mendapat sokongan akar umbi dan dihormati oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) termasuk dalam kalangan pemimpin Pas.

“Sumbangan Hamzah dari segi masa, tenaga dan kewangan dalam menguruskan parti khususnya selepas akaun parti dibekukan adalah jauh lebih besar.

“Bukan Bersatu sahaja, perjalanan dan pengurusan PN secara keseluruhannya pun Hamzah yang tampil membantu tanpa gagal,” katanya.

Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Hamzah merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan pengurusan Bersatu sejak beberapa tahun lalu.

“Kami yang 19 Ahli Parlimen dan 20 ADUN menyokong Datuk Seri Hamzah adalah bekas pemain utama Bersatu.

“Kami yang hadir mesyuarat, merangka strategi, membentuk dasar dan menguruskan parti hampir lima tahun lamanya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mengkritik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu kini tergelincir dari landasan moral dan prinsip yang selama ini beliau perjuangkan.

Scroll to Top